PADANG BESAR: Projek Sekolah Sukan Malaysia (SSM) Perlis yang tertangguh lebih sedekad lalu kini mencapai kemajuan 87 peratus dan dijangka siap pembinaan fasa pertama menjelang hujung tahun ini.
Selain itu, pengoperasian sekolah berkenaan juga dijangka bermula pada tahun hadapan dengan kemasukan awal seramai 200 pelajar.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, projek yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) pada tahun 2011 itu pernah terbengkalai sebanyak tiga kali sebelum kerajaan melantik Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) sebagai kontraktor penyelamat.
“MRCB menerima Surat Setuju Terima (SST) daripada Kementerian Pendidikan (KPM) pada 15 Januari lalu dengan tempoh pelaksanaan selama 12 bulan sehingga 14 Januari 2027 bagi menyiapkan fasa pertama projek tersebut dengan kos RM55.5 juta.
“Setakat hari ini, kemajuan projek telah mencapai 87 peratus, iaitu dua peratus lebih awal daripada jadual asal yang ditetapkan. Semasa MRCB mengambil alih projek ini, tahap kemajuannya juga sekitar 70 peratus dan kita yakin ia dapat disiapkan menjelang akhir tahun ini,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak SSM Perlis, di sini hari ini.
Kah Woh berkata, projek itu kembali diteruskan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan agar pembinaannya disegerakan semasa lawatan beliau ke negeri ini.
Katanya, fasa pertama pelaksanaan projek itu merangkumi pembinaan blok pentadbiran, bilik-bilik khas, 12 bilik darjah, dewan tertutup, dewan serbaguna, gelanggang terbuka, dua blok asrama serta kemudahan lain termasuk astaka dan kantin.
“Sebanyak enam jenis sukan akan diperkenalkan pada peringkat awal pengoperasian sekolah ini membabitkan olahraga, bola sepak, badminton, sepak takraw, memanah dan bola jaring,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan turut meluluskan peruntukan berjumlah RM104 juta bagi pelaksanaan fasa 2 SSM Perlis di bawah RMK-13 dan Belanjawan 2026.
Katanya, fasa 2 pelaksanaan projek itu akan meliputi pembinaan kemudahan sukan seperti hoki, boling padang, ragbi, bola sepak dan bola tampar selain penyediaan 12 lagi bilik darjah, kemudahan asrama serta kuarters.
“Pengoperasian sekolah ini akan dilaksanakan sebaik sahaja fasa pertama siap dan memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC), manakala pelaksanaan fasa 2 akan berjalan serentak selepas itu,” katanya.-UTUSAN










