Roboh semua penempatan haram di Selangor - MB

Roboh semua penempatan haram di Selangor – MB

Roboh penempatan haram Selangor
ANTARA rumah kongsi dibina menggunakan kayu dan papan terpakai yang terdapat dekat salah sebuah kawasan penempatan haram dekat Setia Alam, di Shah Alam, Selangor. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Semua penempatan haram di negeri ini yang tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau pejabat daerah dan tanah (PDT) perlu dirobohkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia perlu ditangani dengan sebaik mungkin susulan isu penempatan haram di negeri ini bukan perkara yang baharu dan masalah tersebut perlu diselesaikan.

“Penempatan haram kena dirobohkan dan perlu ditangani dengan sebaik mungkin.

“Isunya adalah pentadbiran dan pengurusan yang melibatkan kelulusan tanah pengurusan tanah mahupun kepada kelulusan PBT.

“Daripada rekod kita, berapa tindakan dibuat (seperti) amaran, notis dan sebagainya sebab kalau kita lihat kepada isu tanah isu tanah biasanya ia melibatkan kepada penggunaan tanah di luar daripada kapasiti ataupun syarat nyata tanah.

“Itu banyak melibatkan antaranya kawasan pembuangan sampah haram yang kita pernah uruskan dalam bidang kuasa negeri, sebelum suatu perampasan dibuat, kita kena memberikan masa yang secukupnya untuk pemilik punya memulihkan tanah tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, tindakan penguatkuasaan terhadap binaan struktur di Kampung Baru Sungai Makau di Hulu Langat sudah pun diambil sejak 2016 seperti pengeluaran notis amaran, kompaun dan operasi bersepadu.

Siasatan serta tindakan penguatkuasaan termasuk perobohan turut diambil oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Langat, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), polis dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Malah PDT Hulu Langat mengesahkan, pihaknya akan melaksanakan tindakan perbohohan mengikut undang-undang selepas Notis Amaran Pendudukan Secara Tak Sah selaras dengan Seksyen 425 Kanun Tanah Negara kepada pemilik-pemilik struktur kediaman pada 2017, 2020, 2021 dan terkini pada 13 Mac tahun lalu dikeluarkan.

Malah, sebelum ini pun penempatan haram yang diduduki kebanyakannya warga Indonesia termasuk PATI dekat Kampung Budiman, Shah Alam didakwa masih wujud walaupun sudah pun beberapa kali diserbu oleh pihak berkuasa termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT).

Amirudin menjelaskan, bagaimanapun berhubung penempatan haram di Kampung Baru Sungai Makau, pihaknya diberi jaminan oleh Pegawai Daerah Hulu Langat untuk mengambil tindakan perobohan akan diambil serta rampasan tanah dilakukan jika perlu.

“Isu yang di sini adalah perbandaran dan juga syarat gunanya tanah yang perlu diuruskan, tetapi saya sudah mendapat jaminan daripada pihak pegawai daerah, tindakan segera akan dibuat untuk merobohkan dan kalau ada keperluan perampasan, kita akan buat.

“Tetapi, urusan perampasan tanah, tidak mudahlah sebab dia hak milik, mereka bayar premium jadi kita kena beri ruang, ada setengah kes kita kena dibawa ke dalam mahkamah sebab itu prosedur,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN