SUNGAI PETANI: Seorang bapa memerlukan kira-kira RM85,000 lagi dana untuk menampung kos pembedahan hati anak perempuannya yang dijadualkan di China pada hujung bulan ini.
Mohamad Syafiq Ayob, 33, berkata, jumlah keseluruhan kos pembedahan itu adalah sebanyak RM185,000 dan dia telah memperoleh RM100,000 hasil sumbangan orang ramai sebelum ini.
Katanya, dia buntu memikirkan perkara itu memandangkan tarikh pembedahan anaknya itu, Nursyafia Ayra, 4, semakin dekat.
“Memang runsing fikir baki kos yang diperlukan kerana pembedahan perlu dibuat segera berikutan tahap bacaan jaundis anak telah melebihi 300 dan boleh membahayakan nyawanya,” katanya ketika ditemui di Kampung Paya Kerchut, Tikam Batu di sini, semalam.
Menurut pekerja sebuah kilang di Klebang, Melaka itu, anaknya dikesan mengidap penyakit hati sejak lahir dan terpaksa menjalani pembedahan membuang hempedu (Kasai Procedure) ketika berumur 61 hari.
“Walaupun sering mendapat rawatan selama ini, namun mata dan badannya menjadi kuning dan perut mula membesar sementara limpa membengkak dan gatal seluruh badan.
“Doktor pakar memaklumkan hati anak saya semakin rosak teruk dan perlukan pembedahan segera bagi mengelak jangka hayatnya menjadi semakin pendek,” katanya.
Ujarnya, dia dan isteri, Nor Sazwani Ab. Wahab, 37, setiap hari bersedih memikirkan nasib anak mereka kerana jika mempunyai wang mencukupi dia yakin kanak-kanak itu boleh kembali sembuh dan sihat seperti rakan sebaya.
“Saya terpaksa memilih melakukan pembedahan di China kerana hasil perbincangan dan maklum balas dengan keluarga bekas pesakit sama, peluang untuk berjaya dan peratus sembuh juga tinggi.
“Jadi saya merayu rakyat negara ini menderma bagi membolehkan Nursyafia Ayra kembali sihat selepas diuji dengan penyakit kronik itu selama ini,” katanya.
Orang ramai yang ingin menderma boleh berbuat demikian dengan menghubungi Mohamad Syafiq di nombor telefon 017-5097909 atau menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB bernombor 7046834870 miliknya. – UTUSAN










