KUALA LUMPUR: Salah sebuah parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) dijangka meninggalkan gabungan tersebut selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi diadakan hari ini.
Timbalan Pengerusi PN, P. Punithan berkata, perkara itu antara kemungkinan yang boleh berlaku melibatkan parti yang tidak bersetuju dengan keputusan yang dibuat oleh mesyuarat.
Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) itu bagaimanapun berkata, beliau berharap supaya perkara itu tidak berlaku namun ia nampak sukar selepas Pas membuat keputusan memutuskan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) baru-baru ini.
“Sebolehnya kami mahu kekalkan semua, tetapi mungkin tidak, yang tidak bersetuju mungkin keluar. Gugurkan sesebuah parti bukan perkara mudah yang dapat dilakukan begitu sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
PN dilapor akan mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi hari ini bagi membincangkan beberapa isu termasuk mengenai keanggotaan dalam gabungan itu selain mengenai penggunaan logo semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan tidak lama lagi.
Dalam pada itu, Punithan turut memaklumkan penyelesaian berhubung ‘perebutan’ logo PN juga dijangka diselesaikan.
“Esok (hari ini) kami akan bincangkan juga penggunaan logo dan lain-lain perkara berkaitan pengurusan PN dan PRN. Kami percaya boleh ada kata sepakat untuk jalan terus,” katanya.
Beliau turut memaklumkan parti yang keluar daripada PN tidak berhak menggunakan logo parti itu.
Sementara itu, menurut sumber Bersatu kepada akhbar ini, parti itu tetap dengan keputusan untuk tidak akan keluar daripada PN.
Beliau juga percaya Bersatu tidak akan disingkirkan mengambil kira perkara itu memerlukan persetujuan semua presiden parti yang menganggotai PN.
“Setiap keputusan Majlis Presiden hendaklah dibuat secara konsensus. Tiada parti boleh disingkirkan daripada gabungan itu secara satu pihak sahaja. Ia memerlulan persetujuan semua presiden parti yang menjadi anggota PN,” katanya.
Selain Pas, Bersatu dan MIPP, PN turut dianggotai oleh Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).
Sementara itu di Temerloh, Pahang, Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keanggotaan PN termasuk kedudukan Bersatu dijangka menjadi antara agenda penting yang dibincangkan dalam mesyuarat gabungan itu, malam ini.
Katanya, sebarang keputusan berkaitan hala tuju Bersatu dalam gabungan itu terpulang kepada parti tersebut untuk menentukannya.
“Antara agenda yang penting adalah keanggotaan dalam PN. Namun, itu terpulang kepada Bersatu. Setakat ini, PN komposisinya adalah sepertimana yang sedia ada,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Paz Kawasan Kuala Krau Kali Ke-40 di Kompleks Al-Makmur Kerdau di sini semalam.
Naib Presiden Pas itu berkata, sehingga kini tiada sebarang perubahan terhadap struktur PN dan semua parti komponen masih memainkan peranan masing-masing dalam memperkukuh gabungan berkenaan.
Katanya, sebarang perkara yang melibatkan keanggotaan atau kedudukan mana-mana parti dalam PN perlu melalui proses perbincangan dan keputusan bersama di peringkat kepemimpinan tertinggi gabungan tersebut.
Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut bentuk perbincangan yang bakal berlangsung dalam mesyuarat itu, namun menegaskan bahawa PN sentiasa mengamalkan pendekatan muafakat dalam membuat keputusan.
Dalam pada itu, bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki berkata, parti itu mempunyai tiga pilihan yang boleh dipertimbangkan bagi menghadapi PRN Johor berdasarkan realiti politik semasa.
Katanya, pilihan pertama adalah parti itu bergerak secara solo dan ia dilihat sebagai jalan keluar daripada kemelut yang berlaku dalam PN.
Katanya, pilihan kedua adalah menjalin semula kerjasama dengan UMNO atau Barisan Nasional (BN) menerusi naratif Muafakat Nasional (MN) 2.0 sebagaimana pernah dibangkitkan oleh kepimpinan tertinggi parti.
“Pilihan ini juga boleh dilaksanakan dan berpotensi dicapai, lebih-lebih lagi apabila terdapat laporan mengenai beberapa siri pertemuan yang diadakan kebelakangan ini.
“Pilihan ketiga pula adalah menangguhkan pelaksanaan keputusan memutuskan hubungan dengan Bersatu sehingga PRN Johor selesai,” katanya semalam.-UTUSAN.








