Pembesar Memerintah Negeri Sembilan bantah istiadat lantik Undang baharu - Utusan Malaysia

Pembesar Memerintah Negeri Sembilan bantah istiadat lantik Undang baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pembesar Memerintah Negeri Sembilan akan mengambil tindakan termasuk memulakan prosiding undang-undang kepada mana-mana pihak yang mahu meneruskan agenda pelantikan dan penzahiran Undang Luak Sungei Ujong dan Undang Luak Rembau yang baharu seperti dilaporkan akan diadakan esok.

Memuatkan artikel berkaitan…

Peringatan itu dinyatakan dalam notis tuntutan oleh para pembesar memerintah tersebut kepada firma guaman yang mewakili Dewan Keadilan dan Undang (DKU) dan Setiausaha DKU, Raja Norazli Raja Nordin yang menjadi defendan dalam saman pemula dikemukakan oleh para pembesar memerintah tersebut baru-baru ini dan Penasihat Undang-Undang Negeri.

Para pembesar itu terdiri daripada Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin dan Datuk Shahbandar Sungei Ujong.

Notis itu yang dilihat oleh Utusan Malaysia menyebut para pembesar berkenaan telah mendapat maklumat mengenai rancangan untuk menganjurkan istiadat pelantikan dan penzahiran dua Undang luak tersebut di Istana Besar Seri Menanti mulai semalam hingga esok.

“Kami telah diarahkan oleh anak guam kami untuk menyatakan kekecewaan dan bantahan keras mereka terhadap sebarang tindakan, usaha atau agenda untuk melantik, menzahirkan atau mengiktiraf mana-mana individu sebagai Undang luak yang baharu bagi Sungei Ujong dan Rembau dalam majlis tersebut.

“Selaku ahli majoriti DKU anak guam kami tidak pernah dirujuk dan tidak tahu menahu mengenai perkara ini dan jika diteruskan adalah terjumlah kepada pelanggaran adat dan adab yang serius serta tanpa pengesahan punca kuasa yang sah iaitu lembaga adat Luak Rembau dan Sungei Ujong yang sah dan diiktiraf,” kata notis berkenaan.

Menurut notis itu, tindakan mengenepikan proses adat yang sah atau campur tangan luar dalam urusan pemilihan dan pelantikan Undang luak merupakan pelanggaran yang serius, menyalahi undang-undang serta bertentangan dengan perlembagaan bertulis Negeri Sembilan.

Salinan notis itu turut dihantar antaranya kepada pejabat Menteri Besar, pejabat Ketua Setiausaha Negara, Peguam Negara, Ketua Polis Negara dan Mahkamah Tinggi Seremban.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN