SHAH ALAM: Pakej Daya Tahan Selangor 2026 yang bernilai RM355.06 juta bukan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) yang memerlukan kelulusan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sebaliknya, dasar tersebut dibentang ke dalam dewan bagi membolehkan kerajaan negeri mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi membantu rakyat mendepani impak krisis global.
Speaker DUN Selangor, Lau Weng San berkata, justeru pembentangan pakej rangsangan ekonomi itu dibuat melalui sidang khas yang membicarakan tentang kepentingan awam seperti dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959.
“Perkara yang dibentangkan di bawah peraturan ini bukan sesuatu yang bersifat khusus atau pun rang undang-undang, jadi ia tidak akan dibentangkan untuk keputusan atau kelulusan Dewan.
“Oleh sebab itu, ia akan dibahaskan dan kemudiannya dijawab oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco),” katanya pada Sidang Khas DUN Selangor di sini, hari ini.
Terdahulu, Mohd Shafie Ngah (PN- Sungai Ramal) membangkitkan punca kuasa bagi kerajaan negeri membentangkan pakej tersebut dan bagi membelanjakan sejumlah wang dalam Pakej Daya Tahan Selangor.
Menurutnya, Ini kerana peruntukan dalam Perkara 87, 88 dan 89 meliputi belanjawan tahunan, belanjawan tambahan dan kuasa membelanjakan wang negeri yang perlu dibuat melalui pembentangan RUU.
“Saya ingin bertanya sama ada apabila kita berbahas tentang pakej ini, ia akan diluluskan atau pun tidak kerana ia melibatkan kewangan berjumlah RM355.06. RUU adalah punca kuasa bagi kerajaan untuk membelanjakan wang negeri.
“Kalau tidak boleh, rugi kita berbahas di dewan kalau kerajaan tiada punca kuasa untuk membelanjakan wang itu kerana tidak melalui rang undang-undang,” tegasnya.
Weng San kemudian menjelaskan, pakej itu tidak dibentangkan untuk tujuan mendapatkan kelulusan Dewan, sebaliknya sidang khas diadakan di bawah peruntukan yang membolehkan Speaker memanggil mesyuarat lebih awal bagi membincangkan perkara berkepentingan awam.
Tambahnya, walaupun pakej yang diumumkan melibatkan peningkatan perbelanjaan kerajaan negeri, usaha membawa perkara itu ke DUN memberi ruang kepada wakil rakyat menyuarakan pandangan, ulasan dan cadangan sebelum ia dilaksanakan.
Jumaat lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari membentangkan Pakej Daya Tahan Selangor 2026 yang meliputi dua fasa masing-masing berjumlah RM145.8 juta dan RM209.26 juta.
November tahun lalu Utusan Malaysia melaporkan kerajaan negeri membentangkan RUU Perbekalan (Belanjawan) bagi tahun ini berjumlah RM3.23 bilion yang merangkumi perbelanjaan mengurus sebanyak RM1.86 bilion dan pembangunan RM1.37 bilion. – UTUSAN










