Padah rakam kakak ipar ‘selak’ baju dalam tandas, lelaki didenda RM5,000

Padah rakam kakak ipar ‘selak’ baju dalam tandas, lelaki didenda RM5,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Tindakan jijik seorang juruwang memasang pen perakam dalam tandas bagi merakam kakak iparnya sedang menyelak baju memakan diri apabila dia didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh berusia 29 tahun mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid atas kesalahan merakam wanita itu tanpa pengetahuan bagi mengaibkan kehormatan mangsa.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan maksud hendak mengaibkan kehormatan telah merakam seorang wanita berusia 30 tahun sedang menyelak baju ketika berada di dalam tandas tanpa pengetahuan mangsa dengan menggunakan kamera perakam untuk mengganggu kesantunannya.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah pasar mini di Kampung Kor, Batu 8 dekat Jalan Kuala Krai di sini kira-kira pukul 1 tengah hari pada 19 Jun 2026.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nadzir Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Roshayati Hassan.

Terdahulu, Muhammad Nadzir memohon hukuman setimpal kerana kejadian tersebut menyebabkan mangsa malu akibat perbuatan tertuduh.

“Tertuduh mempunyai ikatan kekeluargaan dengan mangsa dan mereka berdua juga bekerja di tempat yang sama. Justeru, mohon hukuman setimpal yang memberi pengajaran kepada tertuduh,” katanya.

Roshayati dalam rayuannya memohon denda yang minimum dengan alasan tertuduh yang bekerja sebagai juruwang di sebuah pasar raya hanya memperoleh pendapatan sebanyak RM1,200 sebulan.

“Tertuduh yang masih bujang sudah insaf dengan perbuatan tersebut dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang,” katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan sembilan bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut. Tertuduh membayar denda yang ditetapkan oleh mahkamah.

Mengikut fakta kes, seorang lelaki berusia 35 tahun yang merupakan pemilik sebuah pasar mini di Kampung Kor, Batu 8 dekat Jalan Kuala Krai di sini menjumpai sebatang pen perakam di dalam tandas premis tersebut.

Mangsa mengambil dan membuat pemeriksaan terhadap peranti itu sebelum mendapati rakaman menunjukkan wajah tertuduh sebagai individu yang meletakkan pen perakam berkenaan di dalam tandas.

Pemeriksaan turut mendapati, ada rakaman wanita itu sedang menyelak baju di dalam tandas sebelum video tersebut terus dipadamkan oleh mangsa.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN