JERANTUT: Penemuan cengkerang siput laut di kawasan batu kapur Kota Gelanggi di sini, kekal menjadi misteri yang belum terungkai sekali gus menguatkan teori saintifik bahawa kawasan pedalaman itu pernah berada di dasar lautan, jutaan tahun dahulu.
Penjaga gua, Othman Ahmad, 74, yang dikenali sebagai Pak Chat berkata, penemuan siput laut yang membatu di kawasan berkenaan sering menghairankan pengunjung kerana lokasi tersebut terletak jauh dari pesisir pantai.
Katanya, selain kesan siput laut purba, terdapat satu lagi penemuan yang sering menarik perhatian pengunjung iaitu bentuk tulisan kalimah Allah pada permukaan batu di pintu masuk sebuah gua di kawasan berkenaan.
Katanya, bentuk semula jadi pada batu itu sering menjadi perhatian pengunjung yang datang kerana menyerupai tulisan jawi nama Allah sekali gus menambahkan lagi misteri Kota Gelanggi.
“Ramai pengunjung berhenti tengok dan ambil gambar kerana nampak seperti kalimah Allah pada batu gua. Ada yang anggap unik dan luar biasa. Tetapi bagi kami di sini, ia sebahagian daripada keunikan alam ciptaan Allah yang menjadikan Kota Gelanggi begitu istimewa,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Othman yang berkhidmat selama 20 tahun menjaga Kota Gelanggi berkata, kawasan itu bukan hanya destinasi gua biasa malah mempunyai nilai sejarah, legenda dan warisan alam yang tinggi serta berpotensi besar sebagai produk pelancongan negeri Pahang.
Katanya, kawasan itu mempunyai keunikan menyamai Gunung Senyum yang dianggap sebagai ‘kembar’ Kota Gelanggi kerana sama-sama memiliki formasi batu kapur dan sistem gua semula jadi yang unik.
Menurutnya, sehingga kini, Kota Gelanggi masih menyimpan pelbagai rahsia alam dan kisah masyarakat lama yang belum diterokai sepenuhnya.
“Sampai sekarang banyak perkara di Kota Gelanggi belum habis diterokai. Ada tempat tertentu dalam kawasan ini yang orang lama simpan cerita tersendiri,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan kajian geologi, penemuan fosil cengkerang siput laut di kawasan batu kapur dipercayai menjadi bukti bahawa Kota Gelanggi pernah berada di bawah laut sebelum berlaku perubahan muka bumi secara besar-besaran berjuta-juta tahun lalu.
“Selain itu, ekosistem batu kapur di kawasan tersebut turut dipercayai menjadi habitat spesies siput darat unik yang hanya hidup di lokasi tertentu, menjadikan biodiversiti Kota Gelanggi sangat bernilai,” katanya.-UTUSAN.










