KKR disyor kaji penggunaan sistem MPS - Ahmad Maslan - Utusan Malaysia

KKR disyor kaji penggunaan sistem MPS – Ahmad Maslan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kementerian Kerja Raya (KKR) mengesyorkan Jabatan Kerja Raya (JKR) membuat kajian segera mengenai penggunaan ‘Modular Precast System’ (MPS) bagi mempercepatkan pelaksanaan projek pembinaan bangunan di negara ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, kaedah pembinaan MPS dilihat lebih efisien berbanding Sistem Binaan Berindustri (IBS) kerana komponen bangunan dihasilkan secara modular sebelum dipasang di tapak.

Katanya, pemasangan sistem MPS yang seolah-olah permainan Lego itu mampu mempercepatkan tempoh pembinaan selain memastikan struktur bangunan lebih berkualiti dan kukuh.

“JKR perlu meneliti dan membuat kajian segera mengenai kaedah MPS bagi pembinaan bangunan. Sistem ini lebih terperinci daripada IBS dan membolehkan bangunan disiapkan dalam tempoh yang lebih singkat.

“Bangunan seperti rumah, sekolah dan dewan boleh dibina menggunakan kaedah ini supaya rakyat dapat menikmati kemudahan yang disediakan tanpa perlu menunggu terlalu lama,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan Lawatan Kerja ke Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Johor, di sini hari ini.

Tambah Ahli Parlimen Pontian itu, jumlah pembekal MPS di negara ini masih terhad, namun sistem berkenaan telah digunakan secara meluas di Singapura yang lebih awal mengadaptasi teknologi tersebut.

“Antara kementerian yang giat menggunakan kaedah MPS ketika ini ialah Kementerian Pendidikan khususnya bagi pembinaan bilik darjah tambahan di sekolah yang mempunyai kepadatan murid yang tinggi.

“Melalui MPS, pembinaan satu hingga enam bilik darjah boleh disiapkan dalam tempoh kira-kira tiga hingga empat bulan. Ini membuktikan teknologi tersebut mampu mempercepatkan pelaksanaan projek tanpa menjejaskan kualiti pembinaan,” katanya.

Ahmad turut memberitahu, JKR Negeri Johor kini menguruskan sebanyak 38 projek pembinaan melibatkan peruntukan bernilai RM356.6 juta yang dibiayai kerajaan negeri sepenuhnya.

“Antara projek itu termasuklah pembinaan bangunan bernilai RM158.2 juta; 10 projek pembangunan jalan bernilai RM136.8 juta dan 24 projek penyelenggaraan dengan kos RM53.6 juta,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN