KOTA BHARU: Sebanyak 10 ekor kucing penduduk yang melecur dalam kebakaran melibatkan 29 buah rumah di Kampung Cina, Gok Kapur di sini menerima rawatan daripada pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kelantan.
Pengarah JPV Kelantan, Dr. Yahasmida Yaacob berkata, rawatan itu bagi membantu haiwan berkenaan kembali sihat dan memastikan kebajikan kucing tersebut diberikan perhatian.
“Sebanyak 10 ekor kucing peliharaan penduduk telah diperiksa. Kami dapati kebanyakan kucing mengalami luka akibat melecur dan rawatan segera diberikan selain turut dibekalkan makanan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Beliau berkata, JPV turut memberikan ubat cacing dan rawatan kurap kepada kucing-kucing peliharaan penduduk yang terjejas.
Katanya, pihaknya juga terus meninjau kawasan kebakaran bagi mengenal pasti sama ada terdapat haiwan peliharaan lain yang turut cedera akibat insiden tersebut.-UTUSAN.










