BESUT: Buku bertajuk Ibu Kami Perlukanmu, jambangan bunga dan duit menjadi kenangan terindah hari lahir yang dihadiahkan oleh Muhammad Adib Hazim Halim kepada ibunya sebelum penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu maut dalam nahas jalan raya, setahun lalu.
Ibunya, Ruslinan Abd. Razak, 56, berkata, hadiah itu diterima dua hari sebelum anak keenam daripada tujuh beradik itu maut dalam kemalangan di Kilometer 53 Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Jeli-Gerik, Perak pada Jun tahun lalu yang mengorbankan 15 pelajar UPSI.
Katanya, sehingga hari ini hadiah tersebut masih tersimpan rapi dan dia tidak kuat membaca buku pemberian Allahyarham Muhammad Adib meskipun pernah diminta berbuat demikian oleh arwah.
“Selamat hari jadi Ummi. Ummi bacalah buku adik berikan ini. Itu kata-kata arwah ketika memberikan hadiah tersebut pada 7 Jun tahun lalu.
“Hadiah ini terlalu berharga buat saya. Buku ini dibeli sendiri oleh arwah manakala jambangan bunga itu pula hasil air tangannya yang terakhir untuk saya,” katanya ketika ditemui di Kampung Pasir Badak, Hulu Besut di sini.
Katanya, Allahyarham Muhammad Adib Hazim seorang yang kreatif dan dia dimaklumkan oleh anak-anak lain bahawa dia bersungguh-sungguh mahu menyiapkan jambangan bunga serta susunan wang RM5 dan RM10 berjumlah RM100 menggunakan duit simpanannya sendiri.
Menurutnya, sambutan hari ulang tahun kelahirannya tahun ini sangat berbeza tanpa kehadiran Muhammad Adib Hazim di sisi walaupun semua anak-anaknya pulang meraikannya.
“Genap setahun tragedi itu berlaku, hati saya masih tidak mampu menampung rasa rindu terhadap arwah dan kini hanya mampu menziarahi pusaranya,” katanya. – UTUSAN










