PETALING JAYA: Walaupun Pas dan Bersatu akan menggunakan logo sama malah menerima watikah pencalonan daripada individu yang serupa namun kedua-dua parti itu akan berkempen secara berasingan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bermula esok.
Kedua-dua parti itu juga akan menggunakan petugas masing-masing bagi gerak kerja pilihan raya dan pengurusan kempen di kerusi-kerusi yang ditandingi.
Perkara tersebut diakui oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bagi menjawab persoalan mengenai kerjasama politik kedua-dua parti yang telah berakhir namun masih menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi PRN berkenaan.
“Ya, setiap parti dengan petugas masing-masing. Dalam konteks hubungan, Pas dan Bersatu, akan memastikan calon mereka berjaya, bekerja dan menurunkan jentera masing-masing,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Perkara itu juga dijelaskan lagi apabila pengumuman calon yang bertanding untuk kedua-dua parti itu juga diadakan secara berasingan malam tadi dengan majlis pengumuman calon PN dari Pas diadakan di Bakri manakala Bersatu di Pagoh.
Kelazimannya, pengumuman calon PN bagi bertanding dalam mana-mana pilihan raya akan dilakukan secara bersama untuk setiap parti komponen.
Terdahulu, Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau telah menandatangani watikah pelantikan calon-calon PN iaitu daripada Pas, Bersatu, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) kelmarin.
Katanya, oleh itu semua parti yang menggunakan simbol PN hendaklah bertanggungjawab sepenuhnya dengan parti masing-masing.
“Kini adalah masanya untuk semua parti komponen, kepimpinan dan jentera PN memberikan sepenuh tumpuan kepada gerak kerja pilihan raya.
“Keutamaan kita adalah menawarkan kepimpinan yang berintegriti, dasar yang membela rakyat serta membawa harapan baharu demi kesejahteraan rakyat Johor.
“Mana-mana parti yang diberikan amanah bertanding menggunakan simbol PN hendaklah bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pemilihan calon, gerak kerja pilihan raya, pengurusan kempen serta prestasi kerusi yang ditandingi,” katanya dalam kenyataan semalam.
Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, semua parti komponen dalam PN mempunyai hak yang sama untuk menggunakan logo gabungan itu pada mana-mana pilihan raya.
Katanya, Ahmad Samsuri telah bertindak secara adil dengan membenarkan semua calon daripada parti komponen menggunakan logo PN.
“Semua anggota gabungan mempunyai hak yang sama untuk menggunakan logo PN dan Dr. Sam (Ahmad Samsuri) selaku pengerusi bertindak dengan adil dengan membenarkan semua calon menggunakan logo PN.
“Tidak seperti yang digembar-gemburkan oleh pelbagai pihak sebelum ini. Berapa banyak fitnah dan komen melampau dilemparkan seolah-olah Dr. Sam tidak membenarkan Bersatu bertanding menggunakan logo PN.
“Malah ada yang menggambarkan seolah-olah Presiden Bersatu terpaksa memaksa Pengerusi PN membenarkan Bersatu menggunakan logo PN. Hakikatnya, semua anggota PN memang dibenarkan menggunakan logo PN,” katanya lagi.
Tambah Tuan Ibrahim, meski Pas sudah mengakhiri kerjasama politik dengan Bersatu namun kedua-dua parti itu perlu mencari jalan memperkukuh gabungan khususnya dalam mendepani pilihan raya.
Mengulas mengenai memperkukuhkan gabungan PN itu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, Bersatu bersedia bekerjasama demi memperkukuhkan PN namun dengan syarat semua pihak perlu mengenepikan perbezaan.
“Semua parti perlu memberi tumpuan kepada usaha mengukuhkan gabungan itu sebagai alternatif kepada kerajaan sedia ada.
“Kalau semua pihak boleh fokus untuk kukuhkan PN, dan ketepikan perkara-perkara yang boleh melemahkan PN, bila-bila masa kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) boleh digantikan.
“Formula untuk mengalahkan PH-BN adalah dengan mengelakkan pertembungan tiga penjuru dan mengurangkan konflik dalam parti gabungan.,” katanya.
Proses penamaan calon PRN Johor akan berlangsung esok dan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai ini.-UTUSAN.










