KULAI: Seorang ahli perniagaan bukan sahaja gagal mendapatkan pinjaman RM500,000, malah mengalami kerugian setelah wang simpanannya berjumlah RM478,093 lebur.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, mangsa yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun membuat laporan berhubung kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai, semalam.
Katanya, pengadu mendakwa dirinya terjerat dengan penipuan oleh seorang wanita yang menawarkan pinjaman tidak wujud ketika dia amat memerlukan pinjaman kewangan.
“Mangsa berminat untuk membuat pinjaman sebanyak RM500,000 telah diminta membuat 191 kali transaksi pembayaran berjumlah RM478,093.00 ke dalam satu akaun bank tempatan.
“Transaksi tersebut dilakukan bermula dari 30 Jun 2025 sehingga 16 Februari lalu atas arahan suspek kononnya sebagai bayaran memproses dan dokumentasi,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Bagaimanapun, Seng Lee berkata apabila mangsa menyemak dengan pihak bank, didapati tiada sebarang permohonan pinjaman dibuat atas namanya.
“Mangsa yang mengesyaki sudah ditipu datang ke balai polis untuk membuat laporan. Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu pinjaman tidak wujud,” katanya. – UTUSAN










