SEREMBAN: Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) menyasarkan untuk bertanding di 15 buah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan akan datang.
Namun jumlah muktamad akan diputuskan kelak mengambil kira rundingan dilakukan dengan parti rakan khususnya Pas.
Presiden Berjasa, Zamani Ibrahim berkata, sasaran tersebut dibuat berdasarkan kekuatan jentera dan persiapan parti berkenaan.
Namun jelasnya, pada masa sama, Berjasa mahu memastikan kerjasama pilihan raya yang dibentuk tidak menyebabkan pertembungan sesama parti sehingga memecahkan undi.
“Sebanyak 15 kerusi merupakan sasaran awal Berjasa berdasarkan kekuatan dan jentera yang kami miliki di Negeri Sembilan.
“Bagaimanapun, perkara itu akan diperincikan dalam rundingan bersama Pas dan parti-parti rakan lain bagi memastikan keserasian serta kerjasama yang baik dalam menghadapi PRN,” katanya pada sidang akhbar Majlis Pelancaran Jentera dan Persiapan PRN Berjasa Negeri Sembilan di sini, hari ini.
Zamani berkata, calon yang akan diketengahkan adalah pemimpin dan ahli parti itu sendiri yang mempunyai kredibiliti serta rekod perkhidmatan dalam masyarakat.
“Kami ada juga dihubungi oleh individu-individu lain daripada parti yang mereka mungkin tidak dapat peluang. Saya tidak membenarkannya kerana saya melihat dalam kalangan ahli Berjasa ada daripada doktor, jurutera dan pesara kerajaan.
“Memanglah Berjasa ini satu parti pemimpin-pemimpinnya yang tidak pernah muncul sebagai menteri, exco atau ADUN, tetapi kami bermula daripada bawah dan kami yakin inilah dia muka-muka baharu yang akan kami ketengahkan iaitu dalam kalangan profesional dan agamawan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, parti itu ingin tampil menawarkan pendekatan politik yang lebih matang dengan menumpukan kepada penyelesaian masalah rakyat berbanding budaya menyerang dan memburukkan pihak lawan.
“Saya tidak mahu jentera Berjasa membawa agenda buruk-memburukkan, menghina atau mengaibkan pihak lain. Kita mahu tampil sebagai parti yang membawa tawaran terbaik dan membiarkan rakyat membuat pilihan,” katanya.
Mengulas mengenai kawasan sasaran, Zamani berkata, Berjasa memberi tumpuan kepada beberapa kerusi luar bandar selain kawasan yang mempunyai peratusan pengundi muda yang tinggi.-UTUSAN.










