Armada gesa siasat dakwaan ADUN jual lembu korban, Haziq nafi dan anggap fitnah - Utusan Malaysia

Armada gesa siasat dakwaan ADUN jual lembu korban, Haziq nafi dan anggap fitnah

MOHD. Firdaus Ismail (kiri) dan Haziq Asyraf DUN (kanan). -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kangar menggesa siasatan menyeluruh dijalankan berhubung dakwaan penjualan lembu korban sumbangan kerajaan negeri.

Naib Ketuanya, Mohd. Firdaus Ismail berkata, pihaknya memandang serius perkara itu di mana terdapat dakwaan lembu korban diperuntukkan oleh kerajaan negeri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi tujuan ibadah korban telah dikenakan bayaran.

Beliau berkata, sekiranya benar terdapat kutipan RM300 bagi setiap bahagian lembu korban
disediakan melalui peruntukan kerajaan negeri, ia perlu dijelaskan secara terbuka bagi mengelak kekeliruan dan mengekal keyakinan rakyat terhadap pengurusan program kebajikan atau keagamaan.

“Armada Bersatu Bahagian Kangar memandang serius dakwaan lembu korban diperuntukkan oleh kerajaan negeri kepada ADUN bagi tujuan ibadah korban telah dikenakan bayaran kepada rakyat.

“Kami menggesa pihak berkuasa termasuk agensi penguatkuasa dan pihak bertanggungjawab menguruskan program korban tersebut menjalankan siasatan menyeluruh bagi menentukan sama ada terdapat sebarang pelanggaran prosedur, penyalahgunaan peruntukan atau unsur keuntungan yang tidak sepatutnya daripada program yang dibiayai menggunakan dana awam,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, tular laporan polis mendakwa ADUN Beseri merangkap Ketua Pemuda Pas negeri, Haziq Asyraf Dun menjual daging lembu korban sumbangan kerajaan negeri kepada penduduk.

Antara kandungan laporan berkenaan, lembu tersebut didakwa telah dibahagikan kepada tujuh bahagian dan setiap peserta turut dikenakan bayaran RM300 bagi satu bahagian yang perlu dijelaskan kepada pihak pengurusan DUN Beseri.

Mohd. Firdaus berkata, program korban melibatkan bantuan kerajaan itu seharusnya dilaksanakan dengan penuh amanah, telus dan mengutamakan kebajikan rakyat khususnya golongan memerlukan.

“Sebarang bentuk ketirisan atau penyalahgunaan, jika berlaku, tidak boleh dipandang ringan. Armada Bersatu Bahagian Kangar menegaskan bahawa kenyataan ini bukan bertujuan menghukum mana-mana pihak, sebaliknya menuntut penjelasan dan siasatan yang adil demi memastikan integriti pengurusan bantuan kerajaan sentiasa terpelihara,” katanya.

Sementara itu, Haziq menerusi kemaskini di laman Facebooknya menafi sekeras-kerasnya dakwaan dalam laporan polis dibuat ke atasnya.

Serentak dengan itu, beliau turut membuat laporan polis berkaitan fitnah dan kenyataan mengelirukan berhubung dakwaan laporan berkaitan isu korban DUN Beseri itu.

“Alhamdulillah, semalam saya selesai membuat laporan polis berkaitan fitnah dan kenyataan yang mengelirukan berkaitan laporan polis telah dibuat ke atas saya berkaitan isu korban DUN Beseri. Saya menafikan sekeras-kerasnya apa yang dinyatakan di dalam laporan polis dibuat ke atas saya itu,” katanya.

Haziq berkata, beliau akan memberi kerjasama dan menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dengan seadil-adilnya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN