PADANG BESAR: Seramai 11 tekong dan 33 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan di Padang Besar dalam tempoh sebulan bermula dari Mei hingga Jun tahun ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, secara kesuluruhan, sebanyak lapan kes Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (Atipsom) turut direkodkan bagi tempoh sama.
Menurut Muhammad, penahanan semua PATI itu melibatkan warga Myanmar, Indonesia, Bangladesh dan China.
“Kejayaan ini membuktikan komitmen berterusan Polis Perlis dalam mengekang aktiviti penyeludupan migran yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar, di sini, hari ini.
Muhammad berkata, pada 25 Mei lalu, polis turut menahan seorang lelaki warga tempatan dipercayai tekong terlibat dalam kes penyeludupan migran bersama sepucuk pistol menerusi pemeriksaan di sebuah rumah di Felda Rimba Mas, di sini.
“Hasil soal siasat ke atas suspek terlibat turut membawa kepada penemuan lokasi senjata itu iaitu di bahagian siling sebuah bilik tidur rumah berkenaan yang dibalut dengan kain.
“Pemeriksaan mendapati balutan itu mengandungi sepucuk pistol jenis glock berwarna hitam, satu sarung pistol berwarna hitam, kelopak berwarna hitam di dalamnya mengandungi tujuh butir peluru dan beberapa lagi butir peluru lain yang turut dikenalpasti,” katanya.
Muhammad berkata, semakan juga mendapati suspek terlibat mempunyai 15 rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah, dadah dan Atipsom.
“Suspek terlibat juga telah dituduh di Mahkamah Kangar di bawah Seksyen 26A Atipsom 2007, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960,” katanya.
Dalam kes berasingan, Muhammad berkata, polis turut merampas sepucuk pistol jenis Smith & Wesson di dalam sebuah kereta menerusi pemeriksaan di sebuah rumah di Kampung Kubang Tiga, di sini, 15 Jun lepas.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek itu sebelum ini ditahan berkaitan satu kes ugutan jenayah pada 9 Jun lalu semasa seorang juruteknik sedang membaca meter di sebuah rumah kampung berkenaan.
“Maklumat berkaitan lokasi senjata api itu turut diperolehi menerusi hasil soal siasat direkodkan dan senjata itu ditemui dalam sebuah kereta jenis Range Roger berwarna putih di bawah tempat duduk penumpang bahagian hadapan,” katanya.-UTUSAN










