PETALING JAYA: Pusat kitar semula dan pengumpulan barangan terpakai serta premis besi buruk perlu diwajibkan merekod identiti penjual serta sumber tembaga atau bahan logam yang dijual.
Menerusi langkah itu, ia dapat membendung kes kecurian kabel yang semakin membimbangkan dan menjejaskan infrastruktur kritikal negara.
Pengasas dan Penasihat Keselamatan Jalan Raya Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya (PPKJR), Jamil Manan Supri berkata, tindakan itu juga adalah relevan dan praktikal kerana penjual perlu mengemukakan kad pengenalan, nombor telefon, butiran kenderaan serta dokumen perolehan sumber bahan kabel atau logam khususnya bagi transaksi berskala besar.
“Pada masa sama, kamera litar tertutup (CCTV) dan rekod transaksi digital juga perlu disimpan untuk tujuan audit serta siasatan polis.
“Sebagai langkah pencegahan, lesen khas pusat kitar semula atau premis yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) boleh digantung atau dibatalkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, hukuman lebih berat bukan sahaja perlu dikenakan kepada pencuri tetapi juga pembeli atau pihak yang melindungi aktiviti berkaitan barang yang dicuri.
Katanya, antara langkah tambahan yang boleh dipertimbangkan adalah penggunaan teknologi keselamatan seperti pemasangan sensor pada kabel kritikal, pengesan gangguan, penandaan khas serta penggunaan bahan alternatif yang kurang bernilai di pasaran besi buruk.
Beliau berkata, isu kecurian kabel tidak boleh dilihat sebagai jenayah kecil kerana ia merupakan ancaman terhadap keselamatan awam, mobiliti rakyat dan keyakinan terhadap sistem pengangkutan negara.
“Kecurian kabel memberi kesan lebih besar daripada nilai logam yang dicuri. Ia boleh menyebabkan gangguan operasi komuter dan tren, kelewatan penumpang ke destinasi masing-masing, kerugian ekonomi, kerosakan imej sistem pengangkutan awam serta ancaman kepada pengguna.
“Dalam banyak keadaan, kelemahan pemantauan menjadi faktor penyumbang termasuk rondaan tidak konsisten, sistem pemantauan lama dan tidak bersepadu, kekurangan anggota keselamatan di kawasan kritikal serta ketiadaan amaran awal apabila berlaku gangguan pada sistem kabel,” katanya.
Beliau turut mencadangkan pelaksanaan pemantauan masa nyata (real-time monitoring), penggunaan sensor kerosakan kabel serta pusat kawalan operasi yang dipantau 24 jam di laluan strategik.
“Pendekatan ini membolehkan tindakan segera diambil sebelum gangguan menjadi lebih besar.
“Boleh juga dilaksanakan reka bentuk infrastruktur lebih selamat dengan meletakkan kabel kritikal lebih dalam, menggunakan saluran konkrit berkunci serta menggantikan bahan tertentu dengan komponen yang kurang bernilai di pasaran,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Law Teik Hua berkata, pendekatan hukuman semata-mata tidak mencukupi tanpa penguatkuasaan tegas serta pemantauan rantaian jual beli logam terpakai.
Katanya, kewujudan pasaran bagi tembaga dan logam dicuri menjadi punca utama kes kecurian kabel berulang justeru pusat kitar semula dan pembeli logam perlu diwajibkan merekod identiti penjual serta sumber bahan yang dijual.
“Pada masa sama, penggunaan teknologi seperti sensor pemantauan kabel, CCTV pintar, dron rondaan dan sistem pengesanan masa nyata perlu dipertingkatkan di kawasan berisiko tinggi.-UTUSAN.










