PETALING JAYA: Golongan pekerja gig termasuk penghantar makanan (rider) di negara ini sering menjadi mangsa manipulasi sistem adalah ekoran ketiadaan siasatan dua hala yang telus.
Pengerusi Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia (PPRPM), Haris Fadillah Arsyad berkata, keadaan itu menyebabkan rider sering berada dalam kedudukan lemah apabila berdepan sebarang pertikaian contohnya melibatkan aduan pelanggan terhadap pesanan yang tidak diterima.
“Lebih membebankan apabila siasatan berkenaan isu seperti bukti penghantaran hanya dimulakan selepas rider sendiri membuat laporan rasmi, bukannya secara automatik apabila berlaku pertikaian dalam sistem.
“Sekiranya rider didapati tidak bersalah, bayaran hanya akan dipulangkan selepas tempoh tertentu yang boleh mencecah sehingga 14 hari, sekali gus menjejaskan aliran tunai mereka.
“Selain itu, terdapat juga kes rider didakwa menggunakan aplikasi atau Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) palsu yang kononnya memanipulasi jarak penghantaran bagi mendapatkan bayaran lebih tinggi daripada platform,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Haris Fadillah, kelemahan sistem seperti pengesanan GPS yang tidak tepat boleh menyebabkan jarak penghantaran direkodkan lebih jauh berbanding laluan sebenar yang digunakan oleh rider.
Katanya, terdapat kes di mana sistem merekodkan jarak sehingga 15 kilometer, sedangkan jarak sebenar adalah lebih dekat disebabkan laluan alternatif yang lebih efisien digunakan.-UTUSAN.










