Tiada gerakan kerjasama antara Bersatu, PH

Tiada gerakan kerjasama antara Bersatu, PH

AHMAD FAIZAL AZUMU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiada sebarang usaha mahupun perbincangan untuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Ia berikutan spekulasi pertemuan antara Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, parti itu konsisten sehingga hari ini untuk tidak bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) yang juga dianggotai DAP.

“Kita tidak pernah bincang langsung usaha untuk bekerjasama dengan PH. Tidak pernah dan itu pendirian kami sehingga hari ini.

“Kalau nak cakap pasal pertemuan Azmin dan Anwar, bukan susah sangat nak siasat. Kalau ada orang yang mendakwa perkara berkenaan tetapi tidak bagi bukti, saya nasihatkan supaya hentikanlah fitnah dan bertaubatlah.

“Jangan jadi seperti lembu ditarik hidung dan percaya sahaja apa orang kata tanpa sebarang bukti,” katanya ketika dihubu­ngi, semalam.

Beliau mengulas dakwaan susulan pertemuan Anwar yang juga Pengerusi PH bersama Mohamed Azmin.

Sebelum ini, bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin turut meminta penjelasan mengenai siri pertemuan sulit Mohamed Azmin dengan Anwar.

Malah, perkara sama turut dipersoal bekas Timbalan Pre­siden, Datuk Seri Rafizi Ramli menerusi podcast dengan menyebut: “Dan mungkin kena tanya Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sebab dia yang selalu jumpa Azmin sekarang kan. Dia ada plot twist yang lain.”

Namun, dakwaan tersebut tidak dijawab Mohamed Azmin sehingga hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Pene­rangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz turut berkata, persoalan tersebut tidak perlu dijawab memandangkan tiada asas yang kukuh bagi membuktikan pertemuan itu berlaku.

“Tiada bukti pun pertemuan antara Mohamed Azmin dan Anwar, jadi untuk apa kita tanya dakwaan itu? Seperti Langkah Bangkok, bukti ada. Sebab itu kita persoalkan.

“Kalau tengok kepada tindakan Mohamed Azmin, dia tidak pun seperti Hamzah yang terburu-buru untuk menjatuhkan Presiden. Jadi untuk apa persoa­lan itu ditimbulkan?,” soalnya.

Mengulas gerak kerja Bersatu pula, Ketua Penerangan Armada parti itu, Harris Idaham Rashid berkata, setakat ini Bersatu ha­nya fokus bersama Pas, Parti Gerakan Nasional (Gerakan), MIPP dan IPR bagi memperkukuh Perikatan Nasional (PN) sebagai blok pembangkang untuk berdepan PH pada pilihan raya umum akan datang.

“Matlamat utama adalah memastikan PN mampu melepasi 111 kerusi bagi membentuk kerajaan sendiri. Jika jumlah itu tidak dicapai, kebijaksanaan kepimpinan PN akan diuji untuk menentukan bentuk kerjasama politik yang sesuai selepas pilihan raya.

“Bagaimanapun, buat masa ini pendirian parti kekal jelas iaitu tidak bercadang bekerja­sama dengan DAP,” katanya.

Namun katanya, bagi mengelakkan perpecahan dalam kala­ngan undi Melayu, ke semua presiden parti harus berlapang dada untuk duduk semeja dan menyedari bahawa setiap parti tidak boleh bertanding di semua tempat dengan menggunakan parti sendiri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN