Terlalu awal buat ramalan di Parlimen Pandan

Terlalu awal buat ramalan di Parlimen Pandan

CHONG SIN WOON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Masih terlalu awal untuk meramalkan MCA akan mendapat kelebihan sekiranya sokongan pengundi terhadap PKR dan Parti Bersama Malaysia (Bersama) berpecah di Parlimen Pandan pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata, bukan mudah untuk membuat perkiraan sedemikian kerana setiap pilihan raya mempunyai syarat serta keadaan yang berbeza.

“Bukan mudah buat perkiraan begitu sebab setiap pilihan raya ada syarat dan kondisi berlainan. Sukar untuk membandingkan keputusan PRU lalu dengan PRU16.

“Bagaimanapun, kalau mereka berpecah, mungkin pergerakan pengundian juga berbeza. Jadi, kalau hendak buat ramalan sekarang masih terlalu awal,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Baru-baru ini, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dilaporkan bersedia mempertahankan kerusi PKR di Parlimen Pandan pada PRU16 jika mendapat kepercayaan parti, susulan Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli melepaskan jawatan dan keluar daripada parti itu.

Bekas Timbalan Presiden PKR itu dijangka bertanding di kerusi Parlimen itu menggunakan tiket parti Bersama.

Mengulas kemampuan MCA untuk meraih manfaat daripada perpecahan undi, Sin Woon menegaskan, parti itu lebih memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh gerak kerja sendiri.

“Bagi kami, MCA perlu lebih kuat bekerja. Kami tak boleh berharap undi pecah akan berpihak kepada kita. Waktu ini bukan masanya berharap lawan lemah, sebaliknya kami perlu kuatkan kerja kami sendiri,” katanya.

Pada PRU15, Rafizi yang mewakili Pakatan Harapan (PH) mengekalkan kemenangan di kerusi itu dengan meraih majoriti 48,296 undi, menewaskan pencabar daripada Perikatan Nasional (PN), Muhammad Farique Zubir Albak yang memperoleh seba­nyak 25,706 undi.

Ia diikuti calon Barisan Nasional (BN), Datuk Leong Kok Wee yang mendapat sebanyak 11,664 undi, Tan Sri Ong Tee Keat (Warisan) sebanyak 3,323 undi manakala Nadia Hanafiah (Pejuang) memperoleh 961 undi.

Parlimen Pandan secara tradi­sinya ditandingi calon MCA yang mewakili BN dan parti itu pernah menyandang kerusi berkenaan dari 2004 hingga 2013.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN