Taktik tukar nombor plat terbongkar, sindiket seludup rokok RM1 juta tumpas

Taktik tukar nombor plat terbongkar, sindiket seludup rokok RM1 juta tumpas

SEBAHAGIAN rokok seludup yang dirampas dalam serbuan di Kampung Pantai Sabak, Kota Bharu, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Helah sindiket penyeludupan rokok menggunakan kenderaan bernombor pendaftaran palsu akhirnya terbongkar selepas diserbu Pasukan Gerakan Am menerusi Op Taring Alpha 1 di Kampung Pantai Sabak, di sini, kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira pukul 9.30 malam itu, PGA bersama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu berjaya menahan seorang lelaki tempatan serta merampas rokok seludup bernilai hampir RM1 juta.

Komander Briged Tenggara Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan dilakukan selepas anggota risikan mendapati beberapa individu sedang memunggah kotak mencurigakan ke dalam kenderaan di tepi sungai di lokasi berkenaan.

Katanya, menyedari kehadiran polis, beberapa suspek bertindak melarikan diri menggunakan perahu dengan meninggalkan seorang lelaki berusia 38 tahun di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Proton Exora.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan tersebut menggunakan nombor pendaftaran palsu, manakala sebuah lagi MPV jenis Nissan Grand Livina yang ditinggalkan di lokasi turut dikesan menggunakan nombor plat berbeza daripada pendaftaran asal.

“Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua kenderaan menemukan sebanyak 50 kotak rokok seludup pelbagai jenama yang dianggarkan berjumlah 500,000 batang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Radzi memberitahu, siasatan awal mendapati suspek yang ditahan hanya bertindak sebagai penghantar dengan bayaran sekitar RM300 bagi setiap perjalanan.

Katanya, suspek dipercayai mula terlibat dalam kegiatan tersebut sejak April lalu selepas direkrut oleh seorang individu warga asing dikenali sebagai Zamree yang berurusan sepenuhnya melalui aplikasi WhatsApp.

“Modus operandi sindiket adalah menggunakan kenderaan sewa yang diisi rokok seludup sebelum dihantar ke lokasi tertentu termasuk sekitar Tok Bali, sebelum dipindahkan ke pihak lain.

“Kesemua barang rampasan dan suspek dibawa ke IPD Kota Bharu untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN