Sudah pakai ihram, rupanya visa palsu

Sudah pakai ihram, rupanya visa palsu

DARUL Nain Abu Bakar (duduk kiri) bersama pasukan haji yang terlibat dalam pengerakkan jemaah Malaysia di Pejabat Operasi TH Jeddah, Arab Saudi. – DARUL NAIN ABU BAKAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEDDAH: Sudah berniat ihram dan bersedia menunaikan Rukun Islam kelima, namun impian sekumpulan jemaah haji bertukar menjadi mimpi ngeri apabila mereka dihalang masuk ke Tanah Suci akibat menggunakan visa palsu.

Dalam kejadian sekitar 2015 itu, kira-kira 30 jemaah terpaksa menelan hakikat pahit apabila ditahan di lapangan terbang sebelum dihantar pulang ke tanah air tanpa sempat menjejakkan kaki ke Mekah.

Pengarah Operasi Haji Jeddah, Darul Naim Abu Bakar berkata, insiden tersebut antara pengalaman paling memilukan sepanjang beliau terlibat dalam operasi haji.

Menurutnya, situasi itu amat memilukan kerana jemaah tersebut bukan sahaja gagal menunaikan haji malah menanggung kerugian kos yang besar.

“Nama dan gambar memang milik mereka tetapi apabila di­semak dalam sistem, visa itu bukan milik sebenar. Mereka tidak dibenarkan masuk ke Mekah dan akhirnya dihantar pulang.

“Lebih menyedihkan, ketika itu mereka sudah lengkap berihram dan bersedia menunaikan haji,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Darul Nain berkata, mangsa bernasib baik apabila konsulat cuba berunding dengan pihak berkuasa Arab Saudi agar mereka tidak ditempatkan dalam lokap, sebaliknya hanya ditahan di kawasan khas lapangan terbang sebelum dihantar pulang.

“Memang kita rasa hendak bantu sebab mereka sudah sampai tetapi peraturan di Arab Saudi sangat tegas. Tiada kompromi jika melibatkan dokumen tidak sah,” katanya.

Tambah beliau, penggunaan visa tidak sah bukan sahaja memberi implikasi kewangan malah boleh menjejaskan rekod individu dengan kerajaan Arab Saudi.

“Mereka merekodkan semua. Kalau disenarai hitam, memang tidak boleh masuk semula,” katanya.

Darul Nain berkata, kawalan pihak berkuasa Arab Saudi semakin diperketatkan beberapa tahun kebelakangan ini ketika musim haji.

“Mereka sangat menitikberatkan keselamatan, jadi sebarang kelonggaran boleh beri kesan besar. Sebab itu pemeriksaan lebih ketat, bukan sahaja terhadap jemaah luar malah penduduk tempatan sendiri,” jelasnya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN