PETALING JAYA: Kecurian kabel landasan tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menggugat keselamatan ribuan penumpang yang menggunakan perkhidmatan itu untuk pelbagai tujuan termasuk berulang-alik ke tempat kerja.
Pada tahun lalu, sebanyak 104 kes kecurian kabel berlaku di seluruh negara menyebabkan lebih 1,300 jam kelewatan kumulatif di seluruh rangkaian KTMB, kata Presiden Institut Piagam Pengangkutan dan Logistik Malaysia (CILTM), Prof Dr. Muhammad Zaly Shah Muhammad Hussein.
Katanya, kecurian itu menyebabkan kerugian RM4.4 juta dalam kos penggantian, pemulihan dan menyumbang 25,000 minit kelewatan kereta api.
“Tetapi kos sebenar ditanggung oleh penumpang biasa yang terlepas temu duga, temujanji perubatan dan menjemput anak di sekolah kerana kereta api mereka lewat 60 hingga 107 minit. Kos ini tidak pernah muncul dalam mana-mana penyata kewangan korporat.
“Bagi saya, pencuri kabel KTM ialah pengkhianat negara dan bangsa. Kita bukan berhadapan dengan jenayah kecil. Ini adalah kecurian terancang yang menyasarkan infrastruktur kritikal negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut laporan, dianggarkan, purata harian penumpang Komuter Lembah Klang sekitar 120,000 orang manakala bagi laluan utara pula lebih 24,000) penumpang sehari pada hari puncak.
Lebih 24 juta penumpang dilaporkan menggunakan KTM Komuter untuk laluan Lembah Klang, Utara, dan Selatan.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan, kegiatan mencuri kebal landasan semakin serius apabila berlaku kecurian kabel sepanjang 100 meter (m) di KM95.8 antara Sungai Siput dan Kamunting yang menyebabkan ratusan penumpang yang ingin pulang menyambut Aidiladha terkandas.
Insiden itu menyebabkan gangguan sistem semboyan dan menjejaskan operasi perkhidmatan tren di sektor utara yang menyebabkan kelewatan beberapa perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan KTM Komuter Utara.

Muhammad yang juga Pengarah Pusat Penyelidikan Kelestarian Alam Sekitar Univesiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, ramai yang terlepas pandang kes kecurian kabel KTM adalah isu keselamatan, bukan sekadar gangguan perkhidmatan.
Ini kerana katanya, kabel-kabel itu adalah sebahagian daripada sisten isyarat yang mengawal pergerakan kereta api.
“Apabila sistem isyarat dan komunikasi terganggu, margin keselamatan turut berkurangan. Ketua Pegawai Operasi KTMB sendiri menggelarkan ini sebagai sabotaj yang mengancam keselamatan ratusan penumpang. Ini adalah penyataan serius daripada pengendali rel dan ia perlu ditangani dengan sewajarnya,” katanya.
Muhammad berkata, KTMB membelanjakan RM12.8 juta setahun selama tiga tahun untuk untuk kos baik pulih dan meningkatkan tahap keselamatan di landasan termasuk penggunaan kamera litar tertutup (CCTV), dron dan penutup manhole yang lebih selamat di lokasi tumpuan.
Selain itu, sensor internet pelbagai benda (IoT), dron berkuasa kecerdasan buatan (AI) dan pengesanan akustik gentian optik juga sedang digunakan.
“Bagaimanapun, teknologi semata-mata tidak mencukupi. Kita memerlukan penguatkuasaan lebih tegas, pendakwaan lebih pantas dan langkah pencegahan yang benar-benar berkesan,” katanya.
Tambah beliau, pada masa ini hukuman bagi kes kecurian kabel rel masih tidak mencerminkan tahap kerosakan besar yang ditanggung oleh sistem pengangkutan negara.
Katanya, undang-undang sedia ada seperti Akta Kereta Api 1991 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 perlu diselaraskan dengan realiti semasa.
“Walaupun peruntukan hukuman terhadap kerosakan infrastruktur telah wujud, tahap penguatkuasaan masih belum cukup kuat untuk menjadi pencegahan berkesan memandangkan kes berulang masih berlaku.
“Langkah Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk mengkaji semula dan memperkukuh hukuman adalah tepat, namun ia mesti diterjemahkan kepada tindakan, bukan sekadar cadangan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Law Teik Hua berkata, pindaan undang-undang itu wajar disegerakan kerana kes kecurian kabel ketika ini bukan lagi sekadar jenayah harta benda biasa.
Beliau berkata, dalam konteks pengangkutan rel, kecurian kabel boleh menyebabkan gangguan sistem isyarat, komunikasi dan bekalan kuasa sekali gus meningkatkan risiko kemalangan serta menjejaskan ribuan pengguna setiap hari.
“Kesalahan ini tidak boleh lagi dilihat sebagai jenayah kecil kerana implikasinya sangat besar terhadap keselamatan awam dan operasi sistem pengangkutan negara.
“Hukuman lebih berat boleh memberi kesan pencegahan yang lebih jelas terutama terhadap sindiket terancang yang melihat aktiviti ini sebagai jenayah berisiko rendah tetapi pulangan tinggi,” katanya. – UTUSAN










