SEREMBAN: Beberapa orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Negeri Sembilan sudah bersedia bagi berdepan sebarang kemungkinan termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan mengejut tidak lama lagi susulan krisis politik yang melanda negeri itu.
ADUN Serting yang juga Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Mohd. Fairuz Mohd. Isa berpandangan, suasana politik ketika ini dilihat sukar diselesaikan melainkan berlaku tolak ansur antara pihak terlibat atau PRN diadakan.
Menurutnya, Pas Negeri Sembilan bagaimanapun telah lebih awal membuat persiapan menghadapi pilihan raya.
“Kami nampak suasana politik yang ada ini agak sukar untuk diselesaikan melainkan ada pihak yang mengalah atau PRN berlaku. Pas juga telah memulakan gerak kerja persiapan pilihan raya lebih dua bulan lalu sebelum krisis ini bermula,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Bagi ADUN Johol dari Barisan Nasional (BN), Datuk Saiful Yazan Sulaiman pula, beliau sentiasa bersedia menghadapi apa juga situasi termasuk kemungkinan PRN mengejut.
Menurutnya, prestasi serta perkhidmatan kepada rakyat menjadi faktor utama dalam memenangi hati pengundi yang semakin bijak membuat pilihan.
“Sebagai ADUN, kami sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan, pengundi hari ini bijak menilai. Saya percaya prestasi dan perkhidmatan memainkan peranan penting, lebih-lebih lagi BN yang sentiasa mementingkan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, dua orang ADUN Pakatan Harapan (PH) daripada DAP memaklumkan akan terus fokus dan memberi tumpuan kepada perkhidmatan kepada rakyat selain persiapan menghadapi pilihan raya.
ADUN Bukit Kepayang, Nicole Tan Lee Koon berkata, mandat rakyat bukan hanya diukur ketika musim pilihan raya sebaliknya melalui tanggungjawab yang dilaksanakan setiap hari.
“Fokus utama ketika ini adalah kepada kestabilan pentadbiran, pembangunan negeri serta kesejahteraan rakyat. Setiap parti dan pemimpin perlu sentiasa bersedia namun kita tidak boleh terlalu leka dengan politik semata-mata,” ujarnya.
ADUN Lobak, Chew Seh Yong pula berkata, persiapan bagi menghadapi pilihan raya telah dimulakan sejurus selepas kemenangan pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
“Kami telah memulakan persiapan selepas menang PRU lepas. Kepemimpinan Pusat memang telah mengarahkan supaya sentiasa bersedia. Saya sendiri sudah mula menyusun strategi dengan terus berbakti kepada rakyat serta menyediakan bahan kempen seperti poster untuk digunakan pada PRU atau PRN akan datang,” katanya.
Kelmarin, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook telah mengarahkan seluruh jentera parti itu untuk bersiap sedia menghadapi kemungkinan PRN mengejut sekiranya Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri iaitu Negeri Sembilan, Melaka dan Johor dibubarkan dalam masa terdekat.-UTUSAN.











