PETALING JAYA: Keperluan memuat naik dokumen rasmi bagi membuka akaun media sosial dikhuatiri mendedahkan pengguna kepada risiko kebocoran serta penyalahgunaan data peribadi.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, syarat memuat naik dokumen rasmi bagi tujuan pengesahan umur untuk membuka akaun media sosial masih menimbulkan beberapa persoalan berkaitan keselamatan dan pengurusan data pengguna.
“Tindakan memuat naik dokumen sebenarnya melibatkan satu proses yang agak konvensional dalam konteks pendigitalan masa kini.
“Persoalannya, siapakah yang bertanggungjawab menyimpan data tersebut dan di manakah lokasi penyimpanannya? Adakah data itu dipegang oleh kementerian atau pihak lain? Selain itu, siapa pula yang akan membuat pengesahan terhadap dokumen berkenaan?
“Hal ini penting kerana platform media sosial bukan dimiliki kerajaan, sebaliknya kebanyakannya dimiliki syarikat asing dari luar negara. Oleh itu timbul persoalan sama ada data tersebut disimpan dalam negara atau di pelayan yang berada di luar negara,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Kelmarin, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dilaporkan berkata, pengguna platform media sosial perlu memuat naik dokumen rasmi yang dikeluarkan kerajaan bagi tujuan pengesahan umur bermula 1 Jun ini.
Menurutnya, antara dokumen yang boleh digunakan adalah kad pengenalan dan pasport bagi menyekat individu bawah umur 16 tahun daripada membuka akaun media sosial.
Katanya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tidak menetapkan teknologi khusus yang perlu digunakan oleh platform media sosial untuk proses pengesahan umur dan kerajaan akan memberi tempoh sewajarnya sebelum tindakan penguatkuasaan dilaksanakan.
Dalam pada itu, Siraj berkata, pelaksanaan dua kod baharu di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA), iaitu Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) yang berkuat kuasa mulai 1 Jun ini merupakan langkah positif dalam memperkukuh keselamatan siber golongan kanak-kanak.
Bagaimanapun, beliau berkata, ibu bapa juga perlu lebih cakna serta meningkatkan pengetahuan mengenai keselamatan dalam talian bagi memastikan setiap langkah intervensi kerajaan untuk melindungi kanak-kanak dapat dilaksanakan secara berkesan.
Menurutnya, masih ramai ibu bapa membiarkan anak-anak melayari internet tanpa pemantauan sehingga mendedahkan mereka kepada pelbagai ancaman siber.
“Ibu bapa tidak boleh hanya bergantung kepada kerajaan semata-mata, sebaliknya perlu memahami setiap langkah dan intervensi yang diperkenalkan terutama apabila melibatkan keselamatan kanak-kanak.
“Ramai ibu bapa tidak cakna mengenai ilmu keselamatan siber sehingga anak-anak mereka berdepan masalah akibat penggunaan internet yang tidak terkawal,” katanya.
Tambahnya, ibu bapa sendiri perlu mempunyai pengetahuan dalam mengurus dan memantau penggunaan internet anak-anak supaya setiap usaha serta intervensi kerajaan dapat difahami dengan jelas.
“Kita semua perlu memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing supaya wujud penyeragaman dalam aspek perlindungan keselamatan kanak-kanak di alam siber,” katanya.-UTUSAN.










