ARAU: Rejimen 504 Askar Wataniah Tentera Darat Malaysia terus memperkukuh kekuatan pasukannya apabila menerima kemasukan seramai 250 anggota baharu dengan tambahan 150 lagi dijadualkan menyertai rejimen tersebut menjelang Julai tahun ini.
Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Lasahi Laiji berkata, perkembangan positif ini meletakkan rejimen berkenaan berada pada landasan kukuh untuk mencapai sasaran nisbah satu kepada satu antara anggota tetap dan anggota sukarela menjelang tahun 2032.
“Ini juga selaras dengan Rancangan Masa Hadapan-Domain Daratan (AMH-D2),” katanya semasa berucap bagi mempersembahkan perkembangan itu kepada kepada Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Komander Rejimen berkenaan bersempena Sambutan Hari Keluarga Rejimen 504 Askar Wataniah Tahun 2026 di My Home Village, di sini, baru-baru ini.
Turut berangkat, anakanda puteri kedua baginda, Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Pada majlis itu, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian sambutan dan turut menyertai acara sukaneka bowling kelapa yang berlangsung meriah.
Baginda kemudian berkenan menyempurnakan pengurniaan penyampaian hadiah kepada pemenang sukaneka serta cabutan bertuah utama.
Sebagai rekod, sambutan itu dianjurkan bagi menyemarakkan lagi semangat kebersamaan dalam kalangan warga Rejimen 504 Askar Wataniah yang berpangkalan di Kem Bukit Keteri, Padang Besar.
Lasahi berkata, tanggungjawab sebagai seorang anggota tentera tidak pernah terhenti sebaliknya menuntut komitmen berterusan dalam memelihara disiplin, menjaga nama baik pasukan serta memperkukuh semangat setiakawan dan profesionalisme dalam setiap tugasan.
“Kekuatan sesebuah pasukan bukan sahaja terletak pada keupayaan fizikal, tetapi juga pada nilai akhlak, integriti dan keikhlasan setiap anggotanya. Justeru, setiap anggota diseru agar sentiasa menjadi contoh terbaik kepada keluarga dan masyarakat,” katanya. -UTUSAN










