KANGAR: Sejumlah 9,729 notis pemberitahuan pengosongan tangki septik dikeluarkan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) membabitkan premis komersial dan domestik di Perlis bagi tempoh sehingga tahun lalu.
Daripada jumlah tersebut, hanya 324 pemilik premis terlibat melaksanakan pengosongan tangki septik membabitkan peratusan sebanyak 5.36 peratus.
Pengarah Seksyen Penguatkuasaan Bahagian Operasi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Ainal Yusman Mohamad Yusop berkata, berdasarkan perkembangan itu, tahap kesedaran kebanyakan pemilik premis masih rendah biarpun IWK giat menjalankan kerjasama dengan penduduk, ketua kampung, badan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).
“Jika dilihat penerimaan orang ramai masih rendah untuk terima nyah enap cemar malah kita juga tidak hanya berhenti di sini dan akan jalankan pemantauan dari masa ke semasa.
“Selain itu, daripada pemerhatian, kita juga mendapati terdapat premis di negeri ini yang tidak mengosongkan tangki septik mereka dalam tempoh lebih 10 tahun,” katanya ketika ditemui selepas Ops Haruman di sekitar Taman Kemajuan, di sini semalam.
Ainal berkata, pelaksanaan Ops Haruman melibatkan 205 premis komersial dan domestik yang gagal mematuhi notis pemberitahuan pengosongan tangki septik dikeluarkan IWK.
“Menerusi operasi ini, kita akan mengambil tindakan penguatkuasaan dan mengeluarkan notis pematuhan bagi pengosongan tangki septik terhadap pemilik atau penghuni yang didapati gagal mematuhi arahan berkenaan.
“Tangki septik individu juga merupakan tangki mendapan yang mempunyai ruang simpanan terhad dan jika pepejal mendap di dasar tidak dikeluarkan secara berjadual, air kumbahan dari premis boleh melimpah lalu mencemarkan parit atau longkang,” katanya.
Beliau berkata, di bawah peruntukan Seksyen 65(1)(c), Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655), pemilik tangki septik hendaklah menyelenggara dan menjaga sistem itu dengan melantik pemegang lesen perkhidmatan atau pemegang permit untuk menjalankan nyah enap cemar.
Katanya, pihak didapati melanggar peruntukan itu juga boleh dikenakan tindakan denda tidak lebih RM50,000.
“Selain itu, di bawah peruntukan Seksyen 66(1)(a) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 pula, pemilik bertanggungjawab bagi suatu sistem pembentungan persendirian yang kotor yang menjadi kacau ganggu dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak lebih RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih enam bulan atau keduanya sekali,” katanya.-UTUSAN










