Masalah air selesai jika AKSB laksana pelan 30 tahun -Awer

Masalah air selesai jika AKSB laksana pelan 30 tahun – Awer

air kelantan
MASALAH bekalan air di Kelantan boleh diselesaikan sekiranya pengurusan Air Kelantan Sdn. Bhd (AKSB) melaksanakan pelan perniagaan 30 tahun AKSB yang diluluskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Masalah air di Kelantan boleh diselesaikan sekiranya pengurusan Air Kelantan Sdn. Bhd (AKSB) melaksanakan pelan perniagaan 30 tahun AKSB yang diluluskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dengan telus.

Pelan perniagaan 30 tahun itu dikaji semula setiap tiga tahun untuk melaraskan semula sasaran dan perkembangan projek.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (Awer), S. Piarapakaran berkata, pihaknya tidak menolak AKSB tidak mempunyai pelan perniagaan kerana situasi yang berlaku di negeri itu tidak sepatutnya wujud.

Sedangkan, katanya, pelan perniagaan wajib di bawah model Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006 (WSIA) kerana ia sepatutnya merangkumi keseluruhan projek-projek infrastruktur untuk penambahbaikan perkhidmatan bekalan air di Kelantan.

Malah, katanya, peruntukan juga diberikan melalui Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) secara pinjaman untuk tempoh pajakan maksimum 45 tahun supaya kesan kepada tarif air diminimumkan.

“Situasi perkhidmatan bekalan air yang masih teruk di Kelantan berpunca daripada masalah infrastruktur yang tidak dibangunkan secara berterusan. Dengan peningkatan peruntukan kepada projek-projek infrastruktur perkhidmatan air, masalah bekalan air di Kelantan sebenarnya boleh diselesaikan.

“(Oleh itu) Kerajaan persekutuan boleh menggunakan WSIA atas sebab kepentingan negara untuk menyelesaikan masalah berkaitan dengan industri perkhidmatan air.

“AKSB boleh diambil alih dan pengurusan atasan boleh dirombak sepenuhnya untuk melaksanakan projek-projek yang sepatutnya dilaksanakan mengikut pelan perniagaan 30 tahun AKSB yang diluluskan oleh SPAN,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Isu berkaitan gangguan perkhidmatan air di Kelantan hangat diperkatakan menjelang hari pengundian pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos ini.

Kerajaan Pusat sebelum in dilaporkan tidak menolak kemungkinan untuk mengambil alih pengurusan AKSB sekiranya masalah tersebut gagal diselesaikan dan tidak mendapat kerjasama kerajaan negeri.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad bagaimanapun berkata, tindakan itu boleh dilakukan Kerajaan Perpaduan berpandukan kepada WSIA, namun langkah tersebut merupakan jalan terakhir dan ia masih belum sampai ke tahap berkenaan.

Bagaimanapun, akhbar ini semalam melaporkan, Kerajaan Negeri Kelantan menyifatkan cadangan mengambil alih pengurusan AKSB oleh kerajaan Pusat hanya retorik musim pilihan raya.

Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yakob berkata, pengambilalihan itu bukan mudah dan sesiapa sahaja boleh berjanji untuk berbuat demikian.

Mengulas lanjut, Piarapakaran berkata, menteri mempunyai kuasa untuk mengarahkan SPAN melaksanakan proses pengambilalihan seperti yang dicadangkan di bawah WSIA.

Namun, katanya, menteri perlu menyediakan kertas Kabinet untuk mendapatkan kelulusan bagi melaksanakan pengambil alihan ini dan keputusan Kabinet itu perlu diwartakan.

“(Kalau lihat) tahap perkhidmatan air di Kelantan yang tidak memuaskan dengan liputan perkhidmatan bekalan air terawat yang rendah.

“Ramai juga terpaksa menggunakan air bawah tanah sama ada melalui telaga (kerek) atau telaga tiub dengan memasang sistem pam sendiri. Kualiti air bawah tanah yang digunakan oleh orang perseorangan ini juga tidak dipantau oleh pihak berwajib.

“Maka, situasi sebegini yang berlarutan berdekad-dekad memang satu sebab yang boleh digunakan untuk mengambil alih AKSB,” katanya.

Jelas beliau, alasan pilih kasih tidak patut digunakan lagi mulai 1 Januari 2008 selepas WSIA sudah mula dikuat kuasakan.

Katanya, ini kerana di bawah WSIA, kerajaan persekutuan melalui Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) akan menyediakan pinjaman jangka panjang untuk membangun infrastruktur perkhidmatan air.

“Ia bagi tempoh pajakan sehingga 45 tahun dengan kadar faedah yang rendah selepas syarikat air negeri menstruktur semula. Mengikut perancangan, penstrukturan semula sepatutnya lengkap menjelang tahun 2010.

“Jika mana-mana kerajaan negeri yang berdolak-dalih untuk menstruktur semula, kesan negatif terhadap pembangunan infrastruktur perkhidmatan air adalah perlu ditanggung oleh kerajaan-kerajaan negeri tersebut juga,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN