PETALING JAYA: Pindaan Akta Majlis Amanah Rakyat (Mara) 1966 bagi menjadikan agensi itu lebih profesional antaranya dengan meminimumkan kuasa Ahli Majlis Mara termasuk Pengerusinya.
Langkah itu selaras dengan standard tadbir urus korporat antarabangsa untuk mengurangkan risiko berlaku ketirisan dan penyelewengan dalam badan berkanun tersebut.
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, dalam meneliti pindaan yang hendak dilaksanakan, pihaknya meletakkan tadbir urus korporat yang diamalkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai penanda aras dalam rang undang-undang berkenaan.
Katanya, dua per tiga daripada aspek pindaan akta berusia 60 tahun itu adalah berkaitan dengan tadbir urus dan tatakelola supaya ia diuruskan dengan lebih berkesan di masa akan datang.
“Contohnya, perlu ada pengasingan kuasa antara Ahli Lembaga Pengarah atau dalam konteks Mara ia dikenali sebagai Ahli Majlis dengan pihak pengurusan. Kita juga menetapkan kriteria penting dalam komponen tadbir urusnya yang menetapi piawaian antarabangsa.
“Maknanya, bukan saja Pengerusi tetapi kuasa Ahli Majlis Mara juga (diminimumkan) berdasarkan piawaian antarabangsa dalam konteks tadbir urus korporat yang baik. Mesti ada semak dan imbang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Asyraf Wajdi berkata, usaha memperhalusi Akta Mara sudah pun dimulakan sejak tahun lalu dengan dipengerusikan oleh bekas Gabenor BNM, Tan Sri Muhammad Ibrahim.
Menurutnya, akta yang digubal pada tahun 1966 itu dilihat hanya melalui beberapa pindaan kecil dan sudah tidak lagi sesuai dengan realiti masa kini dan masa depan dalam perkara-perkara melibatkan pengoperasian dan tadbir urus badan berkanun itu sendiri.
“Pada zaman 60-an dahulu tidak ada istilah tadbir urus korporat. Pemusatan kuasa yang terlalu besar kepada Pengerusi dan Ahli Majlis Mara itu begitu jelas di dalam akta tersebut. Apa yang ada hanyalah Pengerusi menurunkan kuasanya kepada pengurusan untuk menguruskan Mara itu sendiri.
“Jadi, perkara itu ada kecenderungan atau ia terdedah kepada risiko pelanggaran tadbir urus sedangkan dalam konteks hari ini perlu ada pengasingan kuasa membabitkan Ahli Majlis Mara,” katanya.
Mengenai arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk Mara menyiapkan draf pindaan aktanya dalam masa tiga bulan, Asyraf Wajdi berkata, pihaknya mengambil arahan tersebut sebagai cabaran.
Katanya, ia tidak menjadi masalah memandang penelitian untuk pindaan akta tersebut sudah pun dimulakan bagi menggerakan agenda tersebut sejak beliau dilantik sebagai Pengerusi Mara.
“Ketika saya mula menjawat jawatan ini, Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) telah memberikan satu amanah iaitu perkara penting untuk diteliti adalah aspek tadbir urus korporat Mara.
“Ia mestilah berada pada tahap paling baik supaya tidak berlaku ketirisan, kebocoran mahu pun penyelewengan di masa depan,” katanya.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan, Perdana Menteri memberikan tempoh tiga bulan Mara bagi penyediaan draf pindaan Akta Mara 1966 sebagai komitmen Kerajaan Persekutuan untuk memastikan agenda pemerkasaan bumiputera kekal utuh.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah pula berkata, pindaan Akta Mara 1966 yang akan dilaksanakan dijangka berfungsi sebagai benteng pertahanan perundangan bagi memastikan agenda
pemerkasaan bumiputera kekal utuh, meskipun berlaku perubahan kepemimpinan negara.
Beliau berkata, ia bertujuan meletakkan asas tatakelola dan peraturan lebih ketat supaya hala tuju Mara kekal konsisten dalam memartabatkan kepentingan bumiputera tanpa dipengaruhi faktor politik.
“Kita tidak mahu agenda Mara ditukar kerana bertukar kepimpinan. Kita mahu ia terus menjaga agenda bumiputera walau siapa pun yang memimpin ketika itu,” katanya.
Pengukuhan akta itu amat kritikal bagi menutup ruang ketirisan serta kebocoran dana, memandangkan Mara kini memikul amanah besar dengan nilai aset keseluruhan mencecah RM23 bilion. – UTUSAN










