SEREMBAN: Para pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) menjadikan pentas ceramah di Paroi dekat sini malam tadi sebagai pentas meredakan kemarahan penyokong dan menggariskan tindakan selanjutnya selepas krisis politik tercetus di negeri ini sejak 27 April lalu.
Kesemua mereka bersetuju kekecohan politik itu mempunyai hikmah yang perlu diambil pengajaran terutamanya masa depan PH sebagai kerajaan.
Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan pertemuan Biro Politik UMNO dengan PH di Kompleks Sri Perdana dekat Putrajaya semalam tidak berlangsung dengan mudah teruatamanya para penyokong diselubungi emosi dan sentimen.
Sebab itu, katanya, kebijaksanaan diperlukan untuk mencapai keputusan terbaik dengan mengimbangi emosi para penyokong.
“Akhirnya ia membuahkan keputusan terbaik untuk kedua-dua pihak yang terlibat,” katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana Pimpinan Utama PH di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini malam tadi.
Yang turut hadir, Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Pengerusi PH negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan.
Saifuddin menarik perhatian, politik masa kini bukan lagi mengenai siapa melawan siapa tetapi telah mengalami anjakan kepada kita semua adalah bersama-sama.
“Situasi ini boleh dilihat dengan jelas selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang menyaksikan tiada parti yang dominan hingga mampu menubuhkan kerajaan secara sendirian,” ujarnya.
Sementara itu, Siew Fook menggesa para pemimpin PH di semua lapisan perlu kembali menjalankan tugas walaupun krisis politik tersebut belum selesai sepenuhnya.
Jelasnya, para wakil rakyat, Ahli Exco kerajaan negeri, ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) dan ketua kampung perlu memastikan tugas mereka dilakukan dengan cekap dan cepat.
“Apabila masanya tiba kita serahkan kembali kepada rakyat untuk menilai dan membuat keputusan.
“Saya tidak tahu tarikh pilihan raya tetapi kita mesti bersedia daripada sekarang,” ujarnya.
Mohamad pula berharap situasi politik di negeri ini kembali tenang dengan menjadikan persefahaman dan muafakat sebagai teras dalam segala tindakan.
“Kebajikan dan keselesaan rakyat mesti diutamakan dan jangan ulangi lagi perbuatan tebuk atap yang pernah berlaku sebelum ini.
“Pada masa ini tiada siapa yang besar dan tiada siapa yang kuat tetapi perpaduan lah yang akan membawa kejayaan kepada kita,” katanya.










