Pesawah Malaysia nikmati harga belian padi antara tertinggi di Asia Tenggara

Pesawah Malaysia nikmati harga belian padi antara tertinggi di Asia Tenggara

SEORANG pesawah meninjau kawasan sawah padi yang mula digenangi air selepas hujan lebat sejak kebelakangan ini di Kampung Jejawi, Arau, Perlis, semalam. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Golongan pesawah di negara ini masih menikmati harga belian padi lebih tinggi berban­ding kebanyakan negara Asia Tenggara lain.

Malah harga lantai belian padi RM1,500 per tan metrik terma­suk subsidi sehingga RM2,000 adalah lebih tinggi berbanding Thailand dan Vietnam meski kedua-kedua negara itu adalah pengeksport besar selain memiliki teknologi industri padi lebih maju.

Berdasarkan semakan, harga belian padi semasa di Thailand adalah sebanyak RM947; Vietnam (RM808); Filipina (RM1,924); Indonesia (RM1,478); Myanmar (RM1,038) dan Kemboja (RM724) bagi setiap tan metrik.

Pengarah Dibuk Sdn. Bhd., Ezreen Muhaizi Marzukhi berkata, mengikut realiti harga padi semasa sekali pun, pesawah di Malaysia masih menikmati harga padi paling tinggi khususnya untuk variati beras putih.

Katanya, selain itu hanya Malaysia memberi subsidi jualan padi manakala negara-negara lain seperti Indonesia dan Thailand tidak melakukannya.

“Dalam soal hendak naikkan harga padi RM3,000 iaitu dua kali ganda bukanlah tidak realistik namun perlu kenal dahulu bagaimana dunia padi beras berputar di sekeliling berdasarkan harga belian padi tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sementara itu, Ezreen Muhaizi berkata, soal harga padi Malaysia lebih tinggi bukanlah bermaksud cadangan harga padi RM3,000 tidak realistik.

Namun katanya, ia menunjukkan bahawa harga padi rendah di Thailand dan Vietnam (RM900-RM1,000) menyebabkan harga beras di sana juga murah untuk diimport masuk ke Malaysia.

“Bayangkan harga beras import siap proses di pintu kilang di Thailand dan Vietnam adalah lebih murah berbanding harga padi basah di Malaysia yang belum lagi dikeringkan dan belum dikisar untuk dijadikan beras.

“Dengan harga beras import begini, lebih baik pengilang padi tempatan tukar perniagaan untuk jadi pemborong beras import 100 peratus. Beli benda sudah siap, tinggal kampit dan jual sahaja. Tapi persoalannya, apa yang akan berlaku kepada pesawah dan padi tempatan?,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN