Pembeli rumah pertama Johor layak terima sokongan bernilai RM7,000 - Utusan Malaysia

Pembeli rumah pertama Johor layak terima sokongan bernilai RM7,000

Mohd. Jafni Md. Shukor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Pembeli rumah kediaman pertama di negeri ini berpeluang menerima sokongan sehingga RM7,000 sekaligus meringankan beban kewangan awal dan memangkinkan usaha pemilikan rumah oleh rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, kerajaan negeri menetapkan 60 peratus kediaman perlu melibatkan rumah mampu milik bagi memastikan pembangunan tidak hanya memacu ekonomi tetapi turut menjaga kebajikan rakyat.

“Kerajaan negeri telah melakukan reformasi besar dalam bentuk bantuan langsung kepada rakyat. Bantuan perumahan telah diperkasa secara signifikan sejak 2025, berbanding bantuan terhad antara 2022 hingga 2024.

“Bantuan Beli Rumah diperkenalkan sebanyak RM5,000, Bantuan Masuk Rumah ditingkatkan kepada RM2,000, dan Bantuan Sewa Rumah diperkenalkan sebanyak RM2,500, bersamaan RM250 sebulan selama 10 bulan. Secara keseluruhan, rakyat boleh menerima sokongan sehingga RM7,000,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Rashidah Ramli (BN-Parit Raja) berhubung bagaimana kerajaan negeri memastikan golongan muda benar-benar mampu memiliki rumah.

Mohd. Jafni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai berkata, harga kediaman Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) ditetapkan secara berperingkat bermula RM42,000 hingga RM300,000 mengikut kelayakan pendapatan masing-masing.

“Harga ini bermula dengan pendapatan bawah RM4,000 bagi rumah bernilai RM42,000 hingga RM50,000; pendapatan bawah RM6,000 bagi rumah bernilai RM80,000 hingga RM100,000; pendapatan bawah RM8,000 bagi rumah bernilai RM150,000 dan pendapatan bawah RM10,000 bagi rumah bernilai RM250,000 hingga RM300,000.

“Pendekatan ini dibuat bagi memastikan rumah yang ditawar benar-benar padan dengan kemampuan sebenar rakyat, bukan sekadar mampu milik dari segi teori,” katanya sambil menambah Johor merupakan negeri paling banyak membina kediaman mampu milik di negara ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN