TANGKAK: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, Sharon Teo Siew Hui mengakui pengalaman bekerja bersama Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub akan dimanfaatkan sebaiknya sekiranya diberi mandat.
Katanya, dia telah bekerja dengan Allahyarham sejak 2018 sebagai pegawai khas termasuklah dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat diwakili beliau sama ada di Parlimen Pulai mahupun di DUN Simpang Jeram.
“Ya, saya mengikut arwah berkhidmat kepada rakyat berbilang kaum di kawasan Parlimen dan juga DUN. Satu perkara tentang beliau adalah aspek kebajikan rakyat memang mendapat perhatian sepenuhnya.
“Jadi sekiranya diberi mandat oleh rakyat di DUN Permas, saya mahu teruskan perjuangan beliau untuk berkhidmat kepada rakyat, saya akan pastikan kebajikan masyarakat terbela seperti yang arwah lakukan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Bukit Gambir, di sini malam tadi.
Tambah Sharon, antara isu yang akan diberikan tumpuan pihaknya termasuklah kesesakan teruk di kawasan Permas yang kerap berlaku khususnya pada waktu trafik puncak.
“Seperti kita maklum, antara aduan paling banyak diterima di DUN Permas adalah kesesakan trafik, lebih lagi pada waktu puncak orang ramai pergi dan balik kerja. Itu memang antara isu utama.
“Saya mahu selesaikan perkara itu, tambah baik aspek kehidupan rakyat satu persatu, itu keutamaan saya,” tambahnya yang baharu berusia 36 tahun.
Sementara itu, beliau turut mengulas keputusannya menyertai politik dengan bertanding mewakili Parti Amanah Negara (Amanah) walaupun merupakan seorang individu bukan Muslim berketurunan Cina.
“Amanah ini sebenarnya adalah sebuah parti politik berbilang kaum. Selain itu kami membawa mesej konsep ‘Rahmatan Lil Alamin’, iaitu Islam membawa rahmat untuk semua pihak,” katanya.-UTUSAN










