Pas tinggal PN, kerjasama dengan parti Hamzah?

Pas tinggal PN, kerjasama dengan parti Hamzah?

Pas mungkin me­ninggalkan PN dan bekerjasama dengan parti baharu di­kaitkan dengan Datuk Seri Ham­zah Zainudin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pas mungkin me­ninggalkan Perikatan Na­sio­nal (PN) dan bekerjasama dengan parti baharu di­kaitkan dengan Datuk Seri Ham­zah Zainudin yang dijangka dilancarkan bulan depan.

Bekas Timbalan Pengerusi Tetap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Hashim Suboh berkata, hubungan Pas dan Bersatu dalam PN dilihat semakin parah dan sukar diselamatkan.

Katanya, Pas juga lebih mesra dan baik dengan Hamzah serta pasukan ‘reset’ seterusnya tidak mustahil ia akan diteruskan de­ngan kerjasama lebih besar selepas ini dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

“Pasukan ‘reset’ Hamzah akan membentuk jajaran politik nasional dan menimbulkan tanda tanya adakah parti itu akan bersama Pas dalam gabungan baharu atau sekadar bekerjasama.

“Saya lebih cenderung dan mempercayai jika berlaku kejutan adalah dengan Pas meninggalkan PN dan bukannya Hamzah diterima masuk menyertai PN,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Kelmarin akhbar ini me­laporkan, Hamzah yang juga bekas Timbalan Presiden Bersatu bakal melancarkan parti baharunya pada bulan depan.

Menurut sumber terdekat dengan Hamzah memaklumkan, pengumuman tersebut akan dibuat pada Konvensyen Reset sebelum sidang Dewan Rakyat 22 Jun ini.

Katanya, sebahagian besar akar umbi Bersatu akan bersama dengan Hamzah dan setakat ini segala urusan untuk pengumuman itu hampir selesai.

Menurut sumber itu lagi, lebih 19 orang ahli Parlimen dan 20 Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk dengan kekuatan lebih 120,000 akar umbi Bersatu akan bersama Hamzah dan persiapan parti itu lebih kepada mendepani PRU16.

Sementara itu, Hashim ber­kata, jenama Hamzah dan tawaran produk ‘reset’ dan konsensus nasional dilihat agak menarik tetapi tidaklah terlalu mencuri perhatian.

“Ia tidak seperti reformasi ketika ia ditiup selepas pemecatan dan pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kalau Hamzah mengumumkan lebih awal langkahnya mungkin impak tersebut lebih besar berbanding sekarang.

“Apatah lagi apabila Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli pula muncul dengan Parti Bersama Malaysia (Bersama). Peluang dan sokongan kepada Hamzah buat masa ini, lebih berkisar dalam kalangan ahli Bersatu dan penyokong PN.

“Pasukan ‘reset’ masih belum mempunyai gelombang di peringkat gerakan massa. Ia berbeza dengan Rafizi yang sasarannya lebih besar bukan sekadar ahli PKR serta penyokong Pakatan Harapan (PH) semata-mata,” katanya.

Hashim berkata, beliau tidak melihat pengundi bandar atau golongan muda akan beralih sokongan kepada parti Hamzah.

Sementara itu, Naib Pre­siden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, Majlis Syura Ulama Pas akan membuat keputusan mengenai hubungan kerjasama antara parti itu dengan Bersatu.

Katanya, Pas setakat ini masih menunggu laporan penuh daripada kepemimpinan gabungan PN sebelum sebarang keputusan boleh dibuat.

“Sebaik saja laporan itu selesai, ia akan dibentangkan kepada Majlis Syura untuk diperhalusi. Daripada situlah keputusan akan dibuat,” katanya di Kota Bahru, Kelantan semalam.

Sebelum ini, media melaporkan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa parti itu sedang meneliti semula hubungan dan kerjasama dengan Bersatu menjelang PRU16.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, semua aspek melibatkan hubungan antara kedua-dua parti dalam PN dikaji secara menyeluruh berdasarkan pengalaman pilihan raya lalu.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN