Mandiri teruskan saman terhadap Ketua AMK

Mandiri teruskan saman terhadap Ketua AMK

LAPORAN Utusan Malaysia semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Mandiri akan meneruskan tindakan saman terhadap Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Kamil Abdul Munim selepas tempoh 48 jam yang diberikan mereka tamat.

Ketua Eksekutif Mandiri, Amir Hariri Abdul Hadi berkata, keputusan itu diambil susulan tiada sebarang permohonan maaf dibuat oleh pihak Kamil dalam tempoh yang ditetapkan.

Menurutnya, pihaknya akan menyerahkan perkara tersebut untuk ditentukan oleh pihak mahkamah.

“Kami akan teruskan saman selepas tempoh 48 jam selesai dan tiada permohonan maaf dibuat.

“Isu ini kemudian akan menjadi isu di mahkamah, jadi saya rasa saya tidak akan membuat sebarang komen lanjut,” kata­nya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar ini mela­porkan Kamil yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan mempertahankan tindakannya berhubung penerimaan dana asing oleh NGO sebanyak RM1.5 juta daripada sebuah pertubuhan haluan kiri di Amerika Syarikat (AS).

Menurutnya, isu utama yang dibangkitkannya adalah bagi mendapatkan penjelasan berkaitan dakwaan penerimaan dana tersebut dan bukannya membuat tuduhan melulu.

Terdahulu, Kamil mendakwa terdapat laporan antara November 2024 hingga Jun 2025 bahawa Mandiri menerima dana dari AS melalui tujuh transaksi kepada beberapa individu.

Katanya, dana itu mempunyai kaitan dengan gerakan politik, termasuk pembiayaan operasi media sosial serta protes jalanan bagi mewujudkan per­sepsi serta naratif kebencian terhadap kerajaan dan menggugat kestabilan politik.

Susulan daripada itu, Amir Hariri telah mengeluarkan surat tuntutan guaman (LOD) bertarikh 18 Mei yang dihantar kepada Kamil melalui e-mel dan serahan tangan.

Mereka memberikan tempoh 48 jam untuk Kamil menjawab dan membuat permohonan maaf berhadapan dan secara terbuka atau berdepan tuntutan saman RM10 juta.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN