Lebih 30 tahun Sungai Pahang jadi ‘padang pasir’

Lebih 30 tahun Sungai Pahang jadi ‘padang pasir’

PENDUDUK melihat ‘padang pasir’ yang timbul setiap kali musim kemarau di Sungai Pahang di Kampung Pesagi, Chenor di Maran, Pahang. – UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Isu mendapan Sungai Pahang sepanjang empat kilometer dari Kampung Sanding hingga Kampung Chedung Pesagi bukan baharu sebaliknya sudah lebih 30 berlarutan tanpa penyelesaian.

Penduduk mendakwa, ke­adaan itu semakin meruncing apabila sungai utama negeri bertukar menjadi ‘daratan berpasir’ setiap kali musim kemarau, sekali gus menjejaskan ekosistem dan sumber air masyarakat setempat.

Fenomena mendapan berlebihan itu turut menyebabkan aliran sungai menjadi cetek dan berisiko melimpah ketika musim hujan.

Seorang penduduk Kampung Pesagi, Tengku Hasani Tengku Ahmad, 64, berkata, penduduk berharap pihak berkuasa tampil dengan langkah konkrit seperti kerja mendalamkan sungai, kawalan aktiviti huluan dan pelaksa­naan pengorekan terkawal.

“Isu ini tidak boleh lagi dipandang ringan kerana Sungai Pahang adalah aset negeri yang perlu dipelihara demi generasi akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Tengku Hasani berkata, pe­ngurusan pasir secara lebih tersusun di bawah kawalan kerajaan negeri mampu menjadi penyelesaian serampang dua mata iaitu mengurangkan risiko banjir dan meningkatkan hasil negeri.

Sementara itu, bekas Ketua Kampung Pesagi, Abd. Rahim Yaakob, 70, berkata, penduduk berharap kerajaan negeri dan Persekutuan dapat bekerjasama mencari penyelesaian jangka panjang, termasuk melaksanakan kajian menyeluruh tentang mendapan pasir serta kesannya terhadap ekosistem sungai.

“Langkah ini penting supaya tindakan yang diambil benar-benar berkesan dan tidak sekadar bersifat sementara,” katanya.

Beliau mencadangkan agar aktiviti pengorekan pasir dilakukan secara terkawal melibatkan syarikat tempatan yang berle­sen, sekali gus memastikan hasil negeri dapat ditingkatkan tanpa menjejaskan kelestarian alam sekitar.

“Sungai Pahang bukan hanya sumber ekonomi, tetapi juga warisan negeri yang mesti dipelihara dan dipulihara,” katanya.

Ketua Kampung Pesagi, Mohd. Shukri Mat Nor, 60, pula berkata, rakyat menyokong penuh titah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah supaya kerajaan Persekutuan tidak campur tangan dalam urusan dan bidang kuasa kerajaan negeri berkaitan khazanah alam serta hasil mahsul negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×