PETALING JAYA: Kadar kos rawatan persenyawaan invitro (IVF) antara RM20,000 ke RM30,000 yang ditawarkan kebanyakan fasiliti kesihatan swasta mendorong peningkatan pelancong kesihatan asing ke negara ini.
Pakar Perunding Obstetrik, Ginekologi, Reproduktif dan Onkofertiliti, Universiti Kebangsaan Malaysia Medical Centre (UKMMC), Dr. Mohd. Faizal Ahmad berkata, kos rawatan IVF yang dianggap berpatutan dengan kualiti perkhidmatan terbaik ditawarkan itu sememangnya menjadi daya tarikan ramai pasangan.
Katanya lagi, perkhidmatan dan teknologi yang digunakan juga menjadikan fasiliti kesihatan tempatan pilihan utama.
“Sebagai contoh, UKMMC, kami tidak ada senarai menunggu kerana proses IVF itu dijalankan setiap hari dan kami adalah separa kerajaan di mana pesakit boleh membayar rawatan tersebut dengan kadar lebih rendah.
“Anggaran harga dalam RM12,000 hingga RM15,000 bagi hospital separa kerajaan manakala bagi swasta kadar ditawarkan adalah antara RM20,000 ke RM30,000,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam akhbar ini melaporkan, Malaysia menjadi destinasi tumpuan bagi pasangan yang ingin mendapatkan rawatan kesuburan termasuk IVF.
Kadar kejayaan serta standard penjagaan tinggi prosedur rawatan yang ditawarkan menyebabkan negara ini menjadi pilihan pelancong kesihatan terutamanya dari China dan India.
Sementara itu tambah Faizal, layanan dan hospitaliti yang diberi memberikan impak besar kepada pengalaman pasangan sepanjang proses rawatan dijalankan.
“Bukan itu sahaja, toleransi dan komunikasi doktor di Malaysia dalam memberi rawatan juga menjadi faktor tarikan untuk mendapatkan IVF di negara kita,” katanya.
Menurutnya, pada masa kini, pasangan yang mendapatkan rawatan IVF bukan saja dalam kalangan rakyat tempatan bahkan turut menarik minat pelancongan kesihatan luar negara terutamanya dari Indonesia dan China.
“Pesakit-pesakit dari negara luar terutama Indonesia dan juga China akan terbang ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan IVF kerana fasiliti dan kemudahan makmal bahkan teknologi kita lebih bermutu daripada negara mereka,” katanya.
Tambahnya, ia juga dibuktikan dengan kadar peratus kehadiran pelancong kesihatan dari negara asing yang meningkat mencecah 25 peratus pada tahun ini berbanding 2025.
Sementara itu, pakar kesihatan awam, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, kos rawatan IVF berpatutan berbanding negara lain menjadikan Malaysia salah satu negara sering dilawati pesakit luar yang ingin membuat rawatan tersebut.
“Kadar harga rawatan untuk hospital kerajaan biasanya sekitar RM4,000 hingga RM10,000 dengan syarat kelayakan tertentu. Kos lebih rendah sehingga 500 peratus berbanding swasta, tetapi mengikut kelayakan dan masa menunggu,” katanya.-UTUSAN.










