Kerjasama erat jabatan beri kekuatan kepada MAIPs terus cemerlang - Utusan Malaysia

Kerjasama erat jabatan beri kekuatan kepada MAIPs terus cemerlang

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan 'Majlis Apresiasi Perkhidmatan Terpilih dan Keterampilan Jabatan dan Agensi Bersama MAIPs Tahun 2025' di Lee Garden Resort & Café, Padang Besar.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Kerjasama erat dan sikap saling menyokong serta melengkapi antara jabatan merupakan kekuatan utama membolehkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) terus melaksanakan amanah kepada ummah dengan berkesan dan cemerlang.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail seterusnya menzahirkan penghargaan kepada semua jabatan dan agensi yang sentiasa berdiri teguh bersama MAIPs.

Baginda berharap setiap bentuk pengiktirafan yang diberikan mampu menjadi pemangkin inspirasi kepada seluruh warga kerja untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan kepada masyarakat, di samping memartabatkan institusi ke tahap yang lebih gemilang.

“Teruskanlah usaha dan komitmen dalam mengekalkan momentum kecemerlangan dengan menghasilkan kerja yang lebih berkualiti, produktif dan progresif,” titah baginda berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Apresiasi Perkhidmatan Terpilih dan Keterampilan Jabatan dan Agensi Bersama MAIPs Tahun 2025 di Lee Garden Resort & Café di sini semalam.

Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba baginda berdua ke majlis yang bertemakan ‘Afrika’ itu disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Majlis apresiasi itu merupakan program tahunan anjuran MAIPs yang bertujuan menghargai kecemerlangan serta komitmen warga kerja di bawah seliaannya termasuk agensi-agensi rakan strategik.

Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyempurnakan penyampaian Anugerah Perkhidmatan Terpilih kepada penerima lelaki yang terdiri daripada Pejabat Tuanku Raja Perlis, MAIPs, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Jabatan Mufti Negeri Perlis, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis serta Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Perlis.

Manakala penyampaian anugerah kepada para penerima wanita disempurnakan oleh Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah.

Baginda merangkap Yang Dipertua MAIPs bertitah, budaya saling menghargai, hormat-menghormati serta semangat kekitaan terus diperkukuhkan dalam setiap organisasi.

Titah baginda, sesebuah institusi tidak hanya dinilai melalui pencapaian semata-mata, sebaliknya turut diukur menerusi kesatuan hati serta keutuhan warganya dalam mendepani cabaran secara bersama.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN