PETALING JAYA: Harga udang ternakan dijangka meningkat sekitar 30 peratus atau lebih susulan penggantungan sementara import lima jenis udang dari Thailand ke Malaysia mulai 1 Jun ini.
Jika kenaikan 30 peratus berlaku, harga udang yang kini berada sekitar RM31 hingga RM55 sekilogram boleh meningkat kepada kira-kira RM40 hingga RM72 sekilogram bergantung kepada jenis, saiz dan lokasi jualan.
Pengerusi Persekutuan Perikanan Malaysia, Sing Kian Hock berkata, penggantungan tersebut dijangka memberi kesan kepada bekalan udang tempatan berikutan kebergantungan negara terhadap sumber import.
Beliau berkata, langkah itu bagaimanapun bersifat sementara selepas pihak berkuasa mengesan paras antibiotik melebihi piawaian ditetapkan dalam makanan laut berkenaan.
Menurutnya, walaupun penggantungan itu bukan larangan kekal, ia tetap dijangka mengurangkan bekalan di pasaran dan menyebabkan harga udang ternakan meningkat.
“Kenaikan harga ini bergantung kepada saiz udang. Ada saiz yang mungkin naik lebih tinggi kerana permintaannya lebih banyak, terutama bagi kegunaan restoran, pemborong dan pemproses makanan laut.
“Penggantungan adalah sehingga laporan pemeriksaan serta kelulusan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) diperoleh,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Kian Hock berkata, sebagai alternatif, pemborong boleh meningkatkan import udang ternakan dari Indonesia bagi menampung kekurangan bekalan dari Thailand.
Beliau berkata, udang ternakan dari Indonesia sememangnya sudah memasuki pasaran Malaysia namun jumlahnya perlu ditambah sekiranya bekalan dari Thailand terhenti.
Namun, apabila bekalan dari Thailand dihentikan sementara, kami perlu meningkatkan import dari Indonesia bagi membantu menstabilkan harga.
“Kita berharap kenaikan harga udang dapat dikawal sekitar 20 peratus,” katanya.
Kian Hock berkata, permintaan pasaran Malaysia terhadap udang ternakan sangat tinggi namun kos penternakan tempatan yang mahal menyebabkan bekalan dalam negara hanya mampu menampung sekitar 30 hingga 40 peratus daripada keseluruhan pasaran.-UTUSAN.










