JELI: Dua lelaki maut tertimbus di dalam lubang yang digali mereka dipercayai untuk melombong emas di kawasan anak sungai Ladang Sawit Jerimbong, di sini kelmarin.
Seorang lagi mangsa terselamat dalam kejadian pukul 8.20 malam itu.
Kedua-dua identiti lelaki terbabit dikenali sebagai Mohamad Ali Akhbar, 38, dan Mohamad Noor Illyas Suhaisham, 32.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Penolong Penguasa Bomba Adni Ibrahim berkata, anggotanya terpaksa menggunakan kenderaan pikap untuk masuk ke lokasi sebenar kerana laluan sempit.
“Pemeriksaan di lokasi mendapati terdapat dua mangsa tertimbus akibat runtuhan tebing tanah setinggi dua meter di kawasan anak sungai.
“Anggota bertugas kemudian menggerakkan operasi mencari dan menyelamat bermula pukul 9.20 malam. Mangsa pertama ditemukan pada pukul 9.25 malam,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Adni berkata, sekitar pukul 11.18 malam, mangsa kedua ditemukan. Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jeli, Superintenden Kamarulzaman Harun berkata, hasil siasatan mendapati, kedua-dua mangsa dipercayai melakukan aktiviti melombong tanpa lesen.
“Kita menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 6.30 petang. Pasukan bomba mengambil masa kira-kira dua jam sebelum kedua-dua mangsa dibawa keluar.
“Mayat mangsa bawa ke Unit Forensik Hospital Jeli bagi tujuan bedah siasat pada pukul 10 pagi ini,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menjalankan sebarang aktiviti perlombongan secara haram kerana ia berisiko dan berdepan tindakan undang-undang. – UTUSAN










