PETALING JAYA: Kerajaan perlu mempertimbang dasar bagi membolehkan pelarian dan pencari suaka politik berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk bekerja secara sah dalam sektor formal tertentu.
Langkah itu dilihat mampu membantu mengatasi kekurangan tenaga kerja kritikal negara selain mengurangkan isu pekerjaan tidak formal membabitkan 211,360 pelarian berdaftar dengan UNHCR yang kini berada di Malaysia.
Presiden Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, langkah itu wajar diberi perhatian khususnya bagi memenuhi keperluan sektor 3D iaitu kotor, berbahaya dan sukar.
“Banyak sektor seperti perladangan, pembinaan, pembuatan, pertanian dan perkhidmatan terus berdepan kekurangan tenaga kerja walaupun pelbagai usaha pengambilan pekerja asing telah dilaksanakan.
“Dalam keadaan ini, golongan pelarian yang sudah berada di Malaysia perlu dilihat sebagai satu sumber tenaga kerja alternatif yang berpotensi membantu memenuhi kekosongan tersebut secara terkawal dan tersusun.
“Akses kepada pekerjaan formal juga mampu mengurangkan kegiatan pekerjaan tidak formal dan eksploitasi tenaga kerja, selain memastikan perlindungan hak pekerja serta pematuhan kepada undang-undang buruh negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, pendekatan itu boleh menjadi alternatif lebih mampan dalam jangka sederhana dan panjang sekiranya dilaksanakan menerusi dasar yang jelas, pemantauan berkesan serta kawalan rapi.
Katanya, ketika ini majikan masih terlalu bergantung kepada kemasukan pekerja asing baharu yang melibatkan kos tinggi, proses birokrasi panjang dan ketidaktentuan dasar, sekaligus menjejaskan kelangsungan operasi perniagaan.
“Dalam banyak keadaan, majikan turut berhadapan dengan gangguan operasi akibat kelewatan kemasukan pekerja asing.
“Sebaliknya, pelarian yang telah berada di Malaysia mempunyai kelebihan daripada segi penyesuaian sosial dan kebiasaan terhadap persekitaran tempatan.
“Jika diberikan akses pekerjaan yang sah dan teratur, mereka boleh membantu mengurangkan tekanan kekurangan tenaga kerja tanpa perlu terlalu bergantung kepada kemasukan pekerja dari luar negara secara berterusan,” katanya.
Katanya, penggunaan tenaga kerja pelarian berpotensi menjadi lebih kompetitif dan praktikal berbanding pengambilan pekerja asing baharu.
“Pengambilan pekerja asing ketika ini melibatkan pelbagai kos termasuk levi, penginapan, pengambilan, tiket penerbangan, pemeriksaan kesihatan serta caj pengurusan, selain proses kelulusan yang sering mengambil masa panjang.
“Sekiranya pelarian berdaftar dengan UNHCR dibenarkan bekerja secara sah melalui mekanisme rasmi, majikan boleh memperoleh akses kepada tenaga kerja yang sudah berada dalam negara dan boleh diserap lebih cepat ke dalam sektor memerlukan,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, beliau berkata dasar berkenaan perlu dilaksanakan secara berhati-hati agar tidak menimbulkan implikasi sosial, keselamatan serta persepsi negatif dalam kalangan masyarakat tempatan.
Menurutnya, dasar itu juga tidak seharusnya menyebabkan diskriminasi terhadap pekerja tempatan atau menjejaskan usaha meningkatkan automasi, produktiviti dan pembangunan bakat tempatan.
Beliau berkata, kerjasama strategik antara kerajaan, MEF dan United Nations High Commissioner for Refugees amat penting bagi memastikan pelaksanaan dasar itu dilakukan secara tersusun, telus dan terkawal.
“Antara mekanisme rasmi yang perlu dibangunkan termasuk pengesahan identiti dan status pelarian, padanan pekerjaan mengikut sektor kritikal, pemantauan pematuhan undang-undang buruh, latihan kemahiran serta keselamatan dan kesihatan pekerjaan, selain perlindungan kebajikan pekerja dan majikan.
“Pendekatan ini juga mampu mengelakkan penyalahgunaan sistem, pemerdagangan manusia serta eksploitasi tenaga kerja yang sering berlaku dalam sektor tidak formal,” katanya.
Beliau mencadangkan agar pelaksanaan dibuat secara projek perintis dalam sektor tertentu terlebih dahulu sebelum diperluaskan secara menyeluruh.
Katanya, walaupun langkah itu berpotensi mengurangkan sebahagian beban operasi majikan, ia bukan penyelesaian tunggal kepada isu tenaga kerja negara.
“Kerajaan masih perlu memberi fokus kepada agenda jangka panjang seperti automasi, peningkatan produktiviti, latihan kemahiran pekerja tempatan serta reformasi pasaran buruh.
“Secara prinsipnya, MEF menyokong pendekatan yang pragmatik, berperikemanusiaan dan berpandukan keperluan ekonomi negara dalam mempertimbangkan akses pekerjaan formal kepada pelarian dan pencari suaka politik di Malaysia,” katanya. – UTUSAN










