Berbaloi 10 jam naik bas, menang cabutan bertuah RM100,000

Berbaloi 10 jam naik bas, menang cabutan bertuah RM100,000

MUHAMMAD Asyraf Abu Bakar (kanan) memenangi hadiah utama cabutan bertuah RM100,000 yang disampaikan oleh Ahmad Samsuri Mokhtar sempena Terengganu Marathon 2026 di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus, Terengganu. - MINGGUAN/ERMA YUSNIDA JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Perjalanan hampir 10 jam menaiki bas dari Kedah ternyata berbaloi buat seorang peserta apabila memenangi hadiah utama cabutan bertuah berjumlah RM100,000 sempena Terengganu Marathon 2026 di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini semalam.

Muhamad Asyraf Abu Bakar, 28, dari Baling tidak menyangka penyertaan secara santai dalam acara tersebut menjadi detik bermakna dalam hidupnya.

Kakitangan Pejabat Agama Islam Langkawi, Kedah itu berkata, dia tahu mengenai acara itu daripada kawan-kawan dan media sosial dan menyertainya untuk menimba pengalaman.

“Saya datang sekadar suka-suka, tanpa memikirkan hadiah. Saya datang berdua bersama kawan, Muhammad Najmi Mohd. Yusof, 27, sekadar untuk merasai pengalaman baru.

“Ini juga kali pertama saya menyertai larian sejauh 21 kilometer dan ia adalah acara paling besar pernah saya sertai,” katanya ketika ditemui selepas penyampaian hadiah yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri D. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Muhamad Asyraf berkata, dia menaiki bas dari Langkawi ke Kuala Perlis sebelum meneruskan perjalanan ke Terengganu yang mengambil masa kira-kira 10 jam.

“Saya langsung tidak tahu hadiah yang ditawarkan. Ketika nama saya diumumkan, saya memang terkejut, malah ketika itu saya sudah bersiap untuk pulang ke rumah penginapan. Memang betul, rezeki tidak salah alamat sebab nama saya nama ketiga dipanggil apabila dua nama terdahulu tiada yang tampil,” katanya.

Menurutnya, wang kemenangan tersebut akan digunakan untuk membantu keluarga serta disimpan untuk masa depan.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penganjuran edisi kedua Terengganu Marathon tahun ini bmenarik seramai 33,499 peserta berbanding 23,000 pada tahun lalu.

“Diharap pada tahun hadapan, penyertaan 50,000 peserta dapat direalisasikan,” katanya.

Pada acara tersebut, empat kategori dipertandingkan iaitu 41 kilometer, 21 kilometer, 10 kilometer dan lima kilometer. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN