PETALING JAYA: Parti baharu yang bakal dilancarkan oleh Datuk Seri Hamzah Zainudin pada bulan depan dijangka disertai oleh beberapa bekas pemimpin UMNO dan PKR.
Penggerak Reset Selangor, Mohd. Shukor Mustaffa bagaimanapun berkata, perkara itu akan diumumkan sendiri oleh Hamzah semasa Konvensyen Reset yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
“Tunggu pelancaran (parti baharu), biar Datuk Hamzah yang umum, akan ada (nama-nama bekas pemimpin UMNO,PKR),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Baru-baru ini, akhbar ini mendedahkan parti baharu yang akan diumumkan oleh Ahli Parlimen Larut itu dijangka turut dihadiri pemimpin tertinggi Pas dan pemimpin daripada parti komponen Perikatan Nasional (PN).
Mohd. Shukor yang juga bekas Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Puchong berkata, parti baharu itu akan mengetengahkan sebuah Perlembagaan dan sistem struktur parti yang tidak pernah dimunculkan dalam mana mana parti politik di negara ini.
“Kami menggunakan konsep yang mengikut konteks Perlembagaan Persekutuan. Ada bahagian, cawangan tetapi perjalanannya berbeza,” katanya.
Mengulas lambakan parti Melayu yang bakal mendominasi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), bekas Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Selangor itu berkata, lambakan parti bukan menjadi masalah asalkan ia bersatu di bawah satu gabungan.
“Parti Melayu banyak tidak mengapa kerana dalam menentukan kuasa ia perlu duduk di bawah gabungan yang teras Melayu,” katanya.-UTUSAN.










