Arus perdanakan pendidikan tahfiz

Arus perdanakan pendidikan tahfiz

ALIMUDDIN MD. DOM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pendidikan tahfiz yang kini disertai lebih 60,000 pelajar membabitkan 1,401 pusat di seluruh negara, perlu diperkukuh dengan tidak hanya fokus kepada pengajian Al-Quran sebaliknya turut menggabungkan pendidikan akademik atau kemahiran.

Pengukuhan sistem pendidikan tahfiz sangat penting memandangkan ia mendapat sambutan baik masyarakat khususnya orang Melayu, namun dibimbangi ketinggalan berbanding cabang pendidikan lain seperti akademik dan kemahiran.

Tokoh akademik, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, mengarus perdanakan sistem pendidikan tahfiz merupakan isu yang perlu diteliti oleh kerajaan kerana kebanyakan pusat pendidikan itu dikendalikan oleh swasta, perseorangan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau koperasi.

Katanya, pada masa kini, sistem pendidikan tahfiz yang objektifnya melahirkan hufaz terbahagi kepada empat iaitu tahfiz tradisional, turas, akademik dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Bagaimanapun, tambahnya, isu-isu yang dilihat sangat penting adalah untuk memastikan pelajar-pelajar tahfiz mempunyai peluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi atau mempunyai kemahiran dalam bidang-bidang tertentu bagi mendapatkan pekerjaan berpendapatan lumayan.

“Bagi saya, antara isu yang wajar diberi perhatian adalah pelajar-pelajar ini perlu diperseapkan untuk mengambil SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) kerana ia kunci kepada sistem pendidikan misalnya mahu melanjutkan pengajian ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) atau terus ke alam pekerjaan.

“Jika pelajar tahfiz disediakan pendidikan akademik seperti SPM atau kemahiran seperti TVET, masa depan mereka lebih terjamin,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Berdasarkan data Sistem Maklumat Pendidikan Islam (SIMPENI) 2025, sebanyak 1,401 pusat tahfiz telah berdaftar dengan tenaga pengajar 10,081 guru serta 61,494 pelajar di seluruh negara.

Alimuddin yang juga Pro Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan ‘membedah’ lebih lanjut mengenai mengarus perdanakan sistem pendidikan tahfiz dalam Kongres Pendidikan Bumiputera anjuran UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Mengulas lanjut, beliau ber­ka­ta, kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan (KPM) juga perlu memainkan peranan bagi menggalakkan pusat-pusat tahfiz berdaftar di seluruh negara untuk menyertai program seperti Intervensi SPM bagi menyediakan peluang pendidikan akademik kepada pelajar tahfiz.

Selain itu, katanya, cabang pendidikan TVET yang kini sudah mula meluas juga perlu diterapkan dalam sistem pendidikan tahfiz supaya pelajar-pelajarnya mempunyai pilihan untuk menentukan masa depan mereka.

“Selain itu, institusi pengajian tinggi awam (IPTA) juga perlu menyediakan kursus-kursus khas seperti foundation, maknanya pelajar tahfiz ada peluang masuk ke IPTA untuk mengikuti program disediakan mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×