Apa nasib industri padi 10 tahun akan datang?

Apa nasib industri padi 10 tahun akan datang?

PESAWAH dibimbangi tidak lagi berminat atau berputusa asa untuk mengusahakan tanaman padi selepas dihimpit pelbagai tekanan serta terpaksa berdepan kenaikan berterusan kos tanaman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pesawah dibimbangi berputus asa dan tidak lagi berminat untuk mengusahakan tanaman padi selepas mereka berterusan dihimpit pelbagai tekanan termasuk kenaikan berterusan kos tanaman.

Ia sekali gus menimbulkan persoalan mengenai masa depan industri padi negara dalam tempoh 10 tahun akan datang jika pesawah terus dibiarkan bergelut sendirian dengan tekanan dihadapi.

Pengerusi Suara Tani Malaysia, Mohd. Shazwan Suban berkata, pesawah ketika ini semakin dihimpit dengan pelbagai tekanan seperti kos baja, racun, benih, sewa jentera dan input pertanian yang terus melonjak.

Katanya, selain itu, pesawah juga sering berdepan masalah air atau saliran yang tidak pernah selesai serta faktor harga padi tidak sesuai dengan situasi semasa.

MOHD. SHAZWAN SUBAN

Ujarnya, dalam masa sama, generasi muda pula semakin menjauh daripada melakukan kerja-kerja sawah, yang dilihat tidak lagi berbaloi.

“Masalah-masalah ini sekali gus menimbulkan persoalan siapa akan menanam padi untuk keperluan negara dalam tempoh sedekad akan datang jika pesawah terus bergelut sendirian. Malaysia bukan sekadar berdepan isu pertanian, tetapi sedang menuju krisis keselamatan makanan yang serius.

“Bila pesawah mula menyerah kalah, negara akan semakin bergantung kepada import beras luar. Jika berlaku perang, krisis global atau negara pengeksport menghentikan bekalan, rakyat akan menerima kesan secara langsung.

“Lebih membimbangkan, majoriti pesawah hari ini sudah berusia manakala anak muda melihat sawah bukan lagi sumber masa depan kerana pulangan terlalu kecil berbanding pengorbanan tenaga dan modal yang tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Mohd. Shazwan berkata, jika keadaan tersebut dibiarkan berterusan, jangan terkejut suatu hari nanti kawasan sawah hanya tinggal sejarah dan berubah kepada tapak pembangunan.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan tidak boleh terus bermain dengan angka dan pengumuman di atas kertas semata-mata.

Sebaliknya kata beliau, pesawah memerlukan tindakan sebenar seperti harga lantai padi adil, subsidi bersasar yang telus dan jaminan sistem pengairan cekap.

“Selain itu, kawalan yang tegas terhadap kartel serta ketirisan industri padi selain serius menarik generasi muda ke sektor pertanian Ia bukan lagi berkaitan politik sebaliknya soal periuk nasi rakyat dan survival makanan negara.

“Jika hari ini pesawah tumbang, 10 tahun akan datang, Malaysia mungkin terpaksa ‘mengemis beras’ kepada negara lain,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mempersoal disebalik peruntukan berbilion disalurkan namun pesawah masih terus dihimpit kesengsaraan.

“Sejak puluhan tahun berlalu, berbilion ringgit telah dibelanjakan atas nama pembangunan pertanian, keselamatan makanan dan pembelaan pesawah. Namun persoalan paling besar, mengapa majoriti pesawah masih hidup dalam tekanan, hutang dan ketidakpastian.

“Kos semakin naik, hasil masih tidak berubah, sawah semakin ditinggalkan dan generasi muda terus menjauh daripada sektor padi. Di atas kertas semua kelihatan cantik, ada peruntukan, pelan transformasi dan pelbagai lagi namun di bendang, pesawah masih bergelut dengan masalah sama yang diwarisi sejak berpuluh tahun dahulu.

“Lebih menyedihkan, pesawah hari ini tidak lagi bercakap soal keuntungan, tetapi soal bagaimana mahu terus bertahan hidup,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN