PUTRAJAYA: Kesemua 14 orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sebelum ini, bersetuju untuk terus bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hasil daripada pertemuan dan perbincangan beliau dengan kesemua 14 wakil rakyat itu semalam.
“Saya telah mengadakan perbincangan dengan kesemua 14 ADUN daripada Negeri Sembilan untuk melihat semula bahawa (mereka) tidak berhajat untuk retract tetapi kita mahu membetulkan persepsi yang ada bahawa usaha yang dilakukan bukan berhasrat untuk menebuk atap atau membentuk kerajaan negeri melalui pintu belakang tetapi adalah untuk menentukan institusi yang saya sebutkan itu berjalan dengan baik.
“Namun keputusan yang telah dibuat oleh Biro Politik dan pertemuan saya dengan semua ADUN-ADUN memperlihatkan bahawa di samping kita menghormati keputusan yang dibuat oleh ADUN-ADUN berkenaan tetapi parti di peringkat nasional dan juga semua ADUN-ADUN yang telah saya temui itu bersetuju supaya kita terus bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan agar tidak berlaku sebarang penggugatan demi kepentingan rakyat keseluruhannya,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan dan menyaksikan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman antara MyDigital ID Sdn. Bhd. dan rakan kerjasama strategik di sini.
Media sebelum ini melaporkan kesemua 14 ADUN BN itu mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Aminuddin yang juga ADUN Sikamat mewakili Pakatan Harapan (PH).
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menegaskan, tindakan itu diambil kerana kecewa dengan krisis institusi adat dan perlembagaan Negeri Sembilan sehingga menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri, selain memberi kesan mendalam kepada kestabilan kerajaan serta keharmonian rakyat.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, langkah yang dibuat oleh kesemua 14 ADUN di Negeri Sembilan itu merupakan satu langkah yang berniat baik agar institusi diraja dan adat di Negeri Sembilan dapat dihormati serta didukung oleh semua rakyat di negeri tersebut, khususnya oleh ADUN daripada UMNO dan BN.
“Dan apabila terdapat persepsi dan juga tafsiran yang agak berbeza daripada niat asal mereka, saya telah mengadakan perbincangan dengan kesemua 14 ADUN daripada Negeri Sembilan itu,” ujarnya.-UTUSAN.










