Ubat-ubat dalam talian tingkat risiko penyakit

Ubat-ubat dalam talian tingkat risiko penyakit

SHARIFA EZAT WAN PUTEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penjualan ubat di media sosial terutama produk tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tidak terkawal menyumbang kepada masalah kesihatan seperti penyakit buah pinggang kronik atau CKD.

Dianggarkan satu daripada tujuh orang dewasa dianggarkan dipercayai menghidap penyakit CKD dan kini sudah lebih lebih lima juta rakyat menderita akibat penyakit tersebut.

Malah, lebih 10,000 pesakit baharu dilaporkan memulakan dialisis setiap tahun dan dijangka meningkat dua kali ganda menjelang 2040.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, akses terhadap fasiliti kesihatan seperti jarak dan masa antara faktor menyumbang kepada pengguna mendapatkan ubat melalui media sosial tanpa semakan.

Beliau berkata, perkara itu membimbangkan kerana kebarangkalian untuk pesakit dan pengguna menggunakan ubat-ubatan yang tidak sah taraf serta sebahagian ubat tradisional yang tidak terbukti keberkesanan.

“Isu pada ubat-ubatan di dalam talian atau mengapa pembeli terlalu percaya adalah kerana mereka termakan dengan kata-kata penjual dan mungkin berada di dalam keadaan terdesak iaitu mereka nak sihat tetapi tidak mempunyai masa dan sebagainya untuk ke fasiliti kesihatan.

“Ini menyebabkan mereka tertipu terutama pembeli yang tidak mempunyai pengetahuan tentang ubat itu, penjual pula kadang-karang mereka nak jual sahaja produk mereka sehingga melakukan promosi yang keterlaluan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Sharifa Ezat berkata, penggunaan ubat-ubatan yang tidak sah dan tanpa berjumpa atau menerima preskripsi dari pegawai perubatan meningkatkan risiko penyakit dialami semakin memburuk.

“Siapa sahaja yang mempunyai penyakit, perlu mendapatkan rawatan terlebih dahulu di fasiliti kesihatan,” katanya.

Beliau berkata, akses kepada fasiliti kesihatan juga perlu ditingkatkan untuk membendung budaya kebergantungan pada ubat-ubatan yang dijual di dalam talian.

“Kemudahan kesihatan kerajaan memang banyak tetapi isunya pada masa atau orang terlalu ramai, apabila keadaan ekonomi merundum ramai ke klinik kesihatan kerana hanya perlu bayar RM1 sahaja.

“Sedangkan klinik swasta ada banyak, jadi kerajaan perlu tingkatkan kemudahan sosial seperti Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40), Skim Perlindungan Kesihatan mySalam dan sebagainya bagi membolehkan rakyat mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan swasta,” katanya.

Tambahnya, kerajaan juga meningkatkan pemantauan terhadap penjual ubat dan produk kesihatan yang tidak sah di media sosial terutama pada penjual-penjual yang membuat dakwaan melampau hingga mengelirukan pembeli. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini