Tokoh akademik, perniagaan terajui Musyawarah Nasional

Tokoh akademik, perniagaan terajui Musyawarah Nasional

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lima orang tokoh akademik dan perniagaan dilantik bagi mempengerusikan lima kluster utama dalam Musyawarah Nasional, sebuah platform strategik menghimpunkan pemikiran berkaitan hala tuju masa depan Melayu dan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Mohd. Izhar Ariff Mohd. Kashim mengetuai kluster teras agama dengan fokus memperkukuh kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta memperkasa kefahaman masyarakat.

Menurut beliau, penganalisis politik, Prof. Dr. Zainal Abidin Sanusi pula mempengerusikan kluster teras politik yang akan menilai dinamika semasa serta merumus pendekatan baharu bagi memastikan kestabilan politik, kesinambungan kepimpinan dan kematangan demokrasi negara.

“Teras ekonomi dipengerusikan tokoh perniagaan, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir Jamalullail yang akan membincangkan strategi memperkukuh kedudukan eko­nomi orang Melayu agar lebih berdaya saing, inklusif dan mampan.

“Teras pendidikan pula di­pengerusikan Prof. Datuk Seri Dr. Noor Inayah Ya’akub yang akan meneliti agenda pemerkasaan pendidikan sebagai asas pembinaan modal insan berkualiti.

“Manakala teras sosial di­pengerusikan Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran dengan memberi fokus kepada kesejahteraan sosial, perpaduan masyarakat serta pengukuhan institusi keluarga dan komuniti,” katanya dalam kenyataan.

Ahmad Zahid berkata, keseluruhan Musyawarah Nasional itu dipengerusikan oleh bekas Menteri Besar Johor, Tan Sri Abdul Ghani Othman yang mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan dan sektor korporat.

Beliau menjelaskan, inisiatif Musyawarah Nasional yang dicetuskan semasa Perhimpunan Agung UMNO 2025 bukan sekadar wacana sebaliknya menjadi platform penting untuk menghimpunkan pandangan, idea dan cadangan strategik daripada pelbagai lapisan masyarakat Melayu.

“Ini adalah usaha bersama untuk mencari titik temu, me­rumus penyelesaian serta membina konsensus nasional dalam menghadapi cabaran semasa,” katanya.

Tambah beliau, Musyawarah Nasional memberi penekanan kepada isu melibatkan agama, masyarakat, ekonomi, pendidikan dan politik orang Melayu secara menyeluruh dan bersepadu.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar menyertai serta menyumbang pandangan secara terbuka, matang dan bertanggungjawab.

Ia bagi memastikan platform itu benar-benar memperkukuh kesatuan, memperkasa agenda bangsa serta membina masa depan Malaysia yang lebih sejahtera.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN