TUMPAT: Hasrat seorang wanita untuk menunaikan ibadah haji yang tertangguh setahun lalu akibat masalah kesihatan, tidak kesampaian apabila dia maut selepas melecur teruk akibat kebakaran rumahnya di Kampung Simpangan di sini, kelmarin.
Sha’adah Muhammad, 57, sebelum ini dikatakan tidak sabar untuk ke tanah suci bersama suaminya, Mazelan Daud, 64, iaitu kurang tiga minggu lagi dengan segala persiapan telah pun disempurnakan lebih awal.
Menurut Mazelan, isterinya menunjukkan semangat luar biasa untuk mengerjakan Rukun Islam Kelima itu apabila sudah menyempurnakan segala kelengkapan untuk ke tanah suci.
“Semua kelengkapan sudah siap, pakaian dimasukkan ke dalam beg, bayaran dam dan korban juga telah dijelaskan lebih awal. Hari ini (semalam) sepatutnya kami menghadiri kursus perdana haji, tetapi arwah telah pergi buat selama-lamanya,” katanya selepas menerima kunjungan Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), Aiman Yusri Mohd. Yusof semalam..
Mazelan berkata, Allahyarham Sha’adah bersemangat untuk mengerjakan haji kerana sepatutnya tahun lepas lagi dia menunaikannya.
“Tetapi disebabkan masalah kesihatannya kami tunda ke tahun ini. Dalam keadaan musibah ini, mungkin saya juga tangguh untuk menunaikan haji pada 26 April ini,” ujarnya.
Katanya, dia pernah bergurau dengan isterinya mahu ke Mekah seorang diri namun tidak menyangka perkara itu jadi kenyataan.
‘Saya sempat bergurau dengan arwah ketika membuat persiapan haji kerana melihat isteri terlalu teruja. Tetapi arwah marah jika tinggalkan dia dan berangkat ke tanah suci seorang diri,” jelasnya.
Sementara itu, katanya, keadaan anaknya, Fariesya Syaila, 15, yang melecur di muka dalam keadaan stabil dan dibawa pulang dari Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) kerana mahu menghadiri pengkebumian ibunya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, seorang wanita yang melecur akibat kebakaran rumah di Kampung Simpangan di sini, meninggal dunia.
Sha’adah menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 5.15 petang semasa menerima rawatan di HRPZ II. – UTUSAN










