Tertekan pedal minyak punca SUV terbabas rempuh remaja depan surau sekolah

Tertekan pedal minyak punca SUV terbabas rempuh remaja depan surau sekolah

RAKAN mangsa menunjukkan gambar kenangan Allahyarham Nur Fatimatul Hawa ketika ditemui di Unit Forensik, HPUSM Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kemalangan yang meragut nyawa seorang remaja perempuan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas dipercayai berpunca daripada pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) yang tertekan pedal minyak lalu terbabas sebelum merempuh mangsa.

Kejadian pukul 1.50 petang itu turut menyebabkan seorang lagi pelajar perempuan mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Azmir Damiri berkata, siasatan awal mendapati, kenderaan yang dipandu seorang wanita berada di dalam kawasan sekolah.

Katanya, wanita berkenaan dipercayai tertekan pedal minyak sebelum terbabas ke depan sehingga terlanggar dua orang pelajar perempuan.

“Kedua-dua mangsa ketika itu sedang memakai kasut di depan surau sekolah tersebut sebelum SUV berkenaan terbabas merempuh tiang batu surau.

“Kemalangan itu menyebabkan salah seorang mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd. Azmir memberitahu, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian di sini untuk dbedah siasat.

Katanya, seorang lagi mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian badan dan kini sedang menerima rawatan di Zon Merah, Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini.

“Pemandu kenderaan itu tidak mengalami sebarang kecederaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan,
seorang pelajar maut dipercayai dirempuh sebuah SUV di hadapan sebuah surau dalam kawasan sekolah di sini ketika sedang memakai kasut selepas selesai menunaikan solat zohor berjemaah tengahari tadi.

Mangsa Nur Fatimatul Hawa Mohd. Azaudin, 13, yang mengalami kecederaan parah meninggal dunia di lokasi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN